Friday, June 10, 2005

Ke'ANEH'an Malaysia

Artikel ini tersiar di Fokus SPM Disember 2004 dengan suntingan. OLEH FAISAL TEHRANI ANEH! Begitu kata kawan saya Abdullah Komurcu yang sudah berada di Malaysia dalam setahun. Yang aneh-aneh terlalu banyak di Malaysia, tambahnya lagi. Beliau merujuk kepada banyak perkara yang sebetulnya membingungkan, itu kata beliau. Juga kata hati saya, tetapi kerana ia terlalu lazim di Malaysia maka ia tidak lagi jadi membingungkan meskipun ia adalah sebetulnya sesuatu yang amat mengelirukan. Jika kita kata ini sesuatu yang mengelirukan kita pula yang dituduh keliru. Maaf artikel ini lebih mengata pembaca beragama Islam. Ini bulan raya, lagi pun agama itu nasihat. Contoh? Begini. Kawan saya itu merujuk berita seorang artis menunaikan umrah kemudian pulang masih menyanyi, masih mengenakan pakaian seksi dan macam-macam lagilah. Bila orang tanya dia balas semula dengan jawapan, ini antara saya dengan Allah. Eh-eh bukan di dalam Islam antara Allah dengan kita ada kaitan dengan lain-lain manusia juga? Kemudian kata sahabat saya itu, lebih aneh dia melihat remaja atau gadis bertudung kemudian mengenakan
t-shirt lengan pendek. Di mana konsep menutup auratnya? Atau di sekolah bertudung labuh kemudian pulang sekolah tidak sabar-sabar lagi menayangkan rambut merah blonde yang baru diwarnakan. Atau, contoh lain, gadis bertudung kelihatan sopan, menegurnya di dalam tren dengan penuh manja dan menawarkan saya boleh bawa pergi jalan-jalan di Genting. Bila saya tiba dan sergah gadis itu kerana perangai buruknya, dia marah pula pada saya. I just want to be friendly. Eh-eh ini Malaysiakah? Bukankah ini negara Islam? Atau bukankah Turki yang sepatutnya lebih teruk kerana mereka dilanda fahaman sekularisme lebih awal dari kita? Sahabat saya itu jadi lebih terkejut kerbau melihat ada artis wanita bertudung sempurna kemudian menyanyi lagu seperti pop. Ini aneh. Katanya. Ini Islam cara Malaysia, kita berbangga kita terbuka. Tukas seorang teman saya, orang tempatan yang rasa bertanggungjawab mempertahankan Malaysia. Dan apa pendirian saya? Kenapa mempertahankan dan melindungi perkara yang nyata salah?


Pengalaman saya di Turki yang paling besar ialah menyedari bahawa hak dan batil jelas dan ketara terpisah. Kalau sudah mungkar takkan bercampur dengan makruf. Tak mungkin bertemu. Tutup aurat cara separuh seperti yang diamalkan di Malaysia bukan kebiasaan di Turki dan bukan kebiasaan wanita dengan penuh mesra menawarkan mahu bersiar-siar bersama. Tak terjadi wanita bertudung bujang keluar berjalan iseng-iseng dengan teman lelaki meskipun di dalam kumpulan. Tak ada lagu pop dengan lirik Islami. Atau tak mungkin artis pop seperti Guben Ergen atau Emre Altug menunaikan umrah kemudian hebohkan pada semua peminat dan media, baru pulang dari umrah dan hati sudah tenang asyik teringat kaabah tetapi tetap melalak sampai nampak anak tekak dan tetap tayang pusat. Eleh biasalah. Kolot betul Faisal Tehrani ini sejak dua tiga bulan inikan. Ikut ajaran sesatlah agaknya si Faisal sekarang. Eh-eh apa dah jadi dengan budak-budak kita? Eh-eh, macam tak sedarkah ini berlaku selama ini? Jadi perlukah kita terkejut jika ada daging babi bercampur dengan daging ayam di stor simpanan daging sebelum di jual ke pusat membeli belah lalu ditag dengan tanda HALAL? Perlukah kita terperanjat di kedai 24 jam air soya di rak bawah, beer atau arak di rak atas? Sedangkan di kaunter bank kita di sebelah ialah kaunter muamalah di sebelah ialah kaunter kewangan cara sekular. Kitakan rayakan Krismas dan hari raya sama- sama. Apa salahnya. Baguslah orang Malaysia terbuka. Pokoknya halal dan haram bersatu. Di Malaysia kita buat begitu! Kita bangga, kita kata ini Islam cara kita. Eh-eh Islam cara kita yang betul ke atau Islam cara yang disimpulkan di dalam al-Quran dan ditunjukkan oleh Nabi yang betul? Mana satu yang betul? Eh-eh kita keliru ke? Takkan kita keliru? Ini telah diamalkan sekian lama. Dia orang Turki, dia yang tak tahu, dia yang lagi keliru. Eh-eh anehnya kita di dalam dunia yang kita tidak tahu mana satu makruf mana satu mungkar dan noda. Kerana itulah saya pernah terperanjat besar bila seorang gadis bersolat dan berpuasa tapi duduk bersekedudukan dengan teman lelakinya berbangsa Iran. Bolehkah ini berlaku, eh-eh inikan Malaysia. Nak hairan apa! Mashaallah seteruk itukah kita tidak nampak mana yang hak dan mana yang batil. Patutlah! Allah sudah tutup pintu hidayahkah untuk remaja kita? Atau Allah sudah gelapkan hati kita sebegitu busukkah hingga sudah tidak kenal lagi mana yang betul mana yang salah dan bila ia bercampur baur kita sangka itu lebih baik dan cool? Bukankah di dalam sembahyang kita minta jalan lurus sahaja Ya Allah yang Kau tunjukkan pada kita. Jangan jalan lain. Jalan campur aduk pun tak mahu. Di mana duduknya kita? Teman-teman selalu bertanya, kenapa saya begitu tergiur dengan Turki (negara orang) dan duduk di sana lama-lama. Jawapan saya, saya nampak mana yang betul mana yang salah. Hitam putih jelas terang. Dan saya tak perlu risau iman saya berkarat dimasuki unsur nifaq. Yang saya selalu minta dalam doa lepas sembahyang, Tuhan jangan jadikan saya orang munafik. Saya takut! Itu yang membuatkan saya memandang lebih tinggi negara orang. Macam bagus sahaja Faisal sekarang. Eh-eh nak jadi baik pun dipandang serong? Saya sedih hati dan terlalu berduka dengan keadaan di Malaysia, keadaan yang menimpa remaja-remaja kita. Mana tidaknya kekeliruan adalah kebenaran. Masalah kita di Malaysia bukan masalah ilmu. Kita kreatif, bangsa Malaysia lebih kreatif dari bangsa-bangsa lain, saya sahkan ini setelah banyak mengembara. Mana ada masyarakat yang boleh menjadikan nasi putih kepada ratus macam nasi lain. Roti canai boleh diintikan nenas apatah lagi pisang. Itu baru perkara mudah-mudah kita sudah kreatif. Bakat kita sudah diterima dan diiktiraf.
Justeru apa masalah lagi, kita bagus dan lebih pandai apa? Kata Abdullah, sebelum ini jika dia lihat cawan dengan tulisan dibuntutnya Made In Malaysia dia akan beli berbanding cawan dengan tertera tulisan Made In Taiwan kerana Malaysia negara Islam, sekarang dia rasa sangsi. Dia naik keliru. Islam apa begini? Kita Islam dengan hadharah, kita berilmu. Tentu, berilmu dan bijak serta berpengetahuan seperti masyarakat Malaysia mesti datang seiiring dengan adab dan akhlak. Masalah kita ialah masalah akhlak. Kalau tidak masakan tidak saya akan menganga mendengar cerita ada gadis remaja Melayu menggesel bahagian tubuhnya kepada teman saya di dalam LRT. Come one Faisal, apa salahnya, budak perempuan itu mengaji khatam al-Quran apa! Dia tahu tajwid lebih dari engkau. Jadi sayalah yang berdosa? Eh-eh kelirunya!

No comments: