Thursday, July 21, 2005

Pinjamkanlah 'Ia'

Suatu hari ‘Ali pulang ke rumahnya dari rumah Nabi S.A.W., dan menemui Fatimah. Salman al-Farisi berada di rumah Fatimah, sedang menceraiberaikan bulu-bulu domba untuk Fatimah, sedang Fatimah sendiri sedang memintal.

“Adakah makanan yang boleh dimakan suamimu, wanita mulia?” Tanya ‘Ali.

“Demi Allah, aku tak memiliki apa-apa. Tapi ini ada enam dirham yang diberi Salman ketika aku memintal tadi. Sebenarnya aku ingin membeli makanan untuk Hasan dan Husain”.

“Wanita mulia, mana wang itu. Biar aku yang membelikannya,” kata ‘Ali. Wang itu diberikannya kepada ‘Ali.

Di tengah jalan, ‘Ali bertemu dengan seorang laki-laki. Laki-laki itu berkata: “Siapa gerangan yang mahu menghutangi Tuhan Yang Maha Pengasih dan Maha Memenuhi Janji?”. ‘Ali mendekati orang itu, dan serta merta memberikan semua wang yang hendak dibelikan makanan itu.

‘Ali kembali ke rumah tanpa membawa apa-apa. Ketika Fatimah tahu, ia menangis.”Wanita mulia, mengapa menangis?” Tanya ‘Ali.
“Wahai anak paman Rasulullah, Engkau pulang tanpa membawa apa-apa”.
“Wanita mulia, aku telah meminjamkannya kepada Allah”.
“Baiklah kalau begitu”, jawab Fatimah.

‘Ali lalu keluar dengan maksud untuk menemui Nabi. Tiba-tiba datang kepadanya seorang Badwi yang menuntun unta.

“Abu Hassan. Belilah unta ini,“ kata orang itu.
“Aku tidak ada duit,” jawab ‘Ali.
“Mudah sahaja. Wangnya bila-bila pun boleh”
“Berapa kau jual?”
“Seratus dirham”
“Baiklah, aku beli”

Selang beberapa langkah, tiba-tiba muncul Badwi yang lain.

“Wahai Abu Hassan ! Kau jualkah unta itu?” tanyanya.
“Ya”.
“Berapa?”
“Tiga ratus dirham”.
“Baiklah”. Orang itu mengeluarkan wangnya dan mengambil unta itu.

‘Ali pulang ke rumah. Fatimah tersenyum melihat ‘Ali.

“Apa yang kau dapatkan, Abu Hassan?”
“Aku membeli unta seratus dirham dengan hutang, ku jual tiga ratus dirham tunai”.
“Setuju,” kata Fatimah.

Kemudian ‘Ali menghadap Rasulullah S.A.W. di masjid. Ketika ia memasuki pintu masjid, Nabi melihatnya, dan tersenyum. Setelah memberi salam kepada Nabi, Nabi menyapanya: “Wahai Abu Hassan, kau yang akan memberi khabar kepada aku, atau aku yang memberi khabar?”

“Tuanlah yang mestinya memberi, wahai Rasulullah”.

Berkata Nabi: “Berbahagialah kau, ‘Ali. Engkau telah meminjamkan Allah enam dirham dan Allah memberimu tiga ratus dirham. Allah mengganti tiap dirham menjadi lima puluh dirham. Orang yang pertama datang kepadamu itu Jibril, sedang yang kedua Israfil”.

Thursday, July 14, 2005

Cerpen Remaja: Muslimah Idaman.....(Risik)

FAJAR menyinsing. Kokokan ayam begitu nyaring. Azan yang bergaung dari masjid desa mendayu-dayu. Sebuah pagi yang syahdu. Ila terbangkit sendiri. Lain benar azan subuh yang mengejutkan lenanya pagi ini. Merdu dan berlagu. Tidak seperti selalu. Baru Ila sedar dimana ia berada.

Selesai solat subuh, terus saja Ila ke dapur. Ibunya yang hendak ke bilik air tekejut bila melihat Ila sedang menyiapkan sarapan. Demikian juga abah yang baru selesai solat subuh. Namun di sudut hati mereka gembira. Bertuah ada anak yang mengaji agama!

Baru tengah hari semalam Ila tiba. Tiada seorang pun ahli keluarganya yang menyangka Ila yang baru dua tahun menuntut di Jordan itu akan pulang. Tiba-tiba sahaja tersembul di ambang pintu. Gempar satu keluarga. Tidak henti-henti ibu menceceh, sebab Ila tidak memaklumkan dahulu kepulangannya. Ila Cuma tersenyum. Sengaja dia mahu buat kejutan.

“Hai...maknya. Beruntung awak. Tak payah bangun awal lagi. Ustazah dah ada.”

Abah mengusik. Ila tersenyum sambil memandang ibunya yang masih bertelekung, mengacau kopi di dalam kole. Wajah ibunya cukup berseri-seri. Girang benar dengan kepulangan anak gadisnya ini. Memang sejak semalam bibir ibunya tak lekang senyum.

“Mak bahagia Ila balik juga. Dah rindu mak ni.”

“Ila bukan tak nak balik mak. Baru sangat rasanya duduk di Jordan tu. Lagi pun sekarang ringgit jatuh. Kenalah berjimat cermat,” luah Ila tatkala ibu mendakapnya sesampainya di rumah. Kejap betul pelukan ibu, hamper sukar rasanya hendak bernafas. Rindu itu terlerai jua. Dan mereka sama-sama menangis hingga basah lencun tudung Ila yang labuh hingga ke pinggul itu. Ila lihat mata abah masa itu berkaca juga. Sebak beraduk suka agaknya.

Ila sendiri tidak tahu bagaimana dia boleh pulang. Dia sebetulnya tidak merancang. Tekad asalnya untuk tidak akan pulang selagi tidak meraih gelaran siswazah Syariah Timur Tengah, tiba-tiba sahaja mencair apabila dia beroleh jayyid jiddan dalam peperiksaan semester lepas. Dia gembira bukan kepalang. Tidak tahu dengan siapa mahu dikongsinya kegembiraan itu selain kawan-kawan serumahnya. Memang hajat asalnya tidak mahu pulang. Apa kala melihat kawan-kawannya hendak pulang bercuti, entah bagaimana dia pun turut sama menempah tiket kapal terbang.

Sudah seminggu Ila pulang, tetapi masih tidak kemana-mana. Paling jauh pun ke rumah saudara-mara. Dia hanya terperap di rumah. Kenduri kesyukuran pun telah dibuat. Setiap hari ada saja orang kampung yang datang ke rumah. Maklum sajalah, Ilalah anak pertama kampung ini yang belajar di Timur Tengah. Ibu pula langsung tidak berenggang. Di mana ada Ila, disitu jugalah ibu akan menemani. Ada saja perkara yang mereka sembangkan. Tidak henti-henti wanita separuh abad itu bertanyakan kehidupannya di Jordan, pengalamannya sewaktu menunaikan umrah, juga kenangannya semasa melancong ke Mesir.

Dalam perancangannya, kalau boleh, cuti ini ingin dihabiskan dengan beristirehat dan menziarahi adik-beradik dan saudara-mara. Dia mahu santai sepuas mungkin, setelah puas bertungkus-lumus semester penuh di Jordan. Lebih daripada itu, dia tidak mahu. Ditambah cutinya hanya sebulan, masakan sempat untuk berbuat apa-apa.

Bagaimanapun, petang itu abah memanggil Ila ke ruang tamu. Ada perkara yang nak dibincangkan katanya. Ibu pun sudah menanti sama.

“Beginilah Ila. Tadi abah terserempak dengan Ustazah Maisarah di kedai. Dia ada tanyakan Ila.”

Ila terdiam. Bertanya tentang aku? Dadanya berdebar-debar.

“Ustazah nak mintak tolong Ila gantikan dia mengajar malam esok.”

“Ila?” Terkedu dia mendengarnya.

“Ha…ah. Ustazah nak ke Johor Bahru. Tak ada siapa nak gantikan tempatnya.”

“Jangan abah. Ila tak sanggup.”

Ila menggeleng. Abah menghirup teh yang asapnya kian menipis. Ibu terus leka dengn jahitannya.

“Kenapa pula, kan Ila dah belajar itu semua?”

“Ila…Ila tak bersedia lagi. Baru seminggu balik, takkan dah nak mengajar orang.”

Abah mengangguk-angguk. Barangkali alasan Ila itu menerjah akalnya. Ila menarik nafas lega dengan tindak-tanduk abah.

Sementara menunggu mata terlelap malam itu, Ila teringat kata-kata abahnya di ruang tamu tadi. Entah mengapa dia rasa malu sendiri. Dia sedar abah menaruh harapan besar padanya. Dalam lima orang adik-beradiknya, dialah perintis dalam keluarga, yang belajar di sekolah agama. Kakak-kakak dan abangnya dihantar ke sekolah biasa. Belajar pun perkara-perkara sekular. Malah tiada seorang pun yang berjaya hingga ke peringkat universiti, melainkan Ila satu-satunya. Lantaran itu, Farhana adiknya yang bongsu dihantar ke sekolah agama, demi menuruti jejak kakaknya.

Mengajar orang-orang kampung? Suatu perkara yang tidak pernah terfikir di akalnya sebelum ini. Ila benar tidak menyangka Ustazah Maisarah bertanyakan dirinya untuk itu. Dia kenal benar keluarga ustazah itu. Fathi, anak sulungnya pernah sekelas dengannya sewaktu di SMKAS. Itulah sebabnya dia terkejut benar bila Ustazah Maisarah bertanyakan dirinya. Tidak pasti pula di mana Fathi berada sekarang. Yang dia tahu Fahmi dan Siti Khadijah, dua orang lagi anak ustazah itu masih menuntut di SMKAS.

Dalam begitu, telinganya menangkap sayup-sayup suara orang berbual. Pasti abah dan ibu belum tidur lagi. Baru dia teringat abahnya baru pulang bermesyuarat di rumah pak Imam. Perlahan-lahan Ila membuka pintu biliknya, dan melangkah segontai mungkin ke ruang tamu.

“Abang nak tolak cadangan pak Imam tadi. Tapi…lepas tu abang terfikir apa salahnya kalau anak kita yang beri pengisian.”

Langkah Ila terhenti. “Ish…nak ke si Ila tu?” Ibu bertanya separuh ragu.

“Alah…dia mengaji agama tinggi-tinggi. Bila lagi nak diguna ilmu tu.”

Tidak semena-mena dadanya berdebar kencang. Terus memasang telinga.

“Lagipun ceramah Maulidur Rasul ini cuma untuk muslimat saja. Dua minggu lagi. Apa nak dibimbangkan?”

Sekali lagi Ila terkedu. Dia sudah dapat menagkap hala tuju percakapan abahnya. Lantas, berpatah balik ke bilik, dan merebahkan diri di tilam. Kacau! Ila mengetap bibir. Dia tidak tahu bagaimana untuk mengelak lagi. Kelas agama sudah di tolak. Tetapi, menolak program yang ini, memang tidak wajar!

Bukan dia tidak mahu, cuma tidak sanggup. Dengan ilmu yang tidak seberapa, bagaimana mahu memberi pengisian kepada masyarakat. Dia teringat kehidupannya di Jordan. Banyak dihabiskan dengan studi. Masanya digunakan cuma untuk menelaah muqarrar kuliah. Jarang sekali dia mengikuti program-program seperti ini. Aktif berpersatuan pun tidak. Semuanya tidak dihiraukan. Dia cuma mahu score dalam peperiksaan!

Pernah sekali rakan serumahnya mengajak dia menghadiri program public speaking.

“Lain kalilah Icah, aku tak free petang ni.”

“Alah…program macam ni bukannya selalu. Kebetulan Kak Suhanna yang buat Ph.D tu ada sekali. Rugi kalau tak dengar dia berceramah tau.”

“Aku nak studi, macam tak sempat aje. Minggu depan imtihan.” Dia cuba berdalih. Bila berbicara dengan Icah dalam soal –soal begini jarang sekali dia menang. Gadis kelahiran Batu Pahat itu memang bijak berhujah.

“Orang lain pun belajar juga. Tapi, tak adalah sampai langsung tak ada masa.”

“Kita ke sini kan untuk belajar.”

Icah yang sedang memakai tudung tersentak.

“Apa, kau ingat belajar tu dengan menghadap buku saja?”

Esoknya, Ila benar-benar terkejut, Pagi-pagi lagi Ustazah Maisarah sudah muncul di halaman rumahnya. Wajah wanita itu berseri-seri. Dada Ila mula bergetar. Ibu sedang mandi, terpaksa Ila pula yang menyambutnya.

“Ana bukan tak mau ustazah. Tapi rasa macam tak layak aje.”

Betul jangkaannya. Ustazah Maisarah datang membawa hajat. Sama seperti kata-kata abah.

“Tak usahlah tawaduk sangat Ila. Ustazah yakin Ila boleh. Suami ustazah pun kata macam tu.”
Melihat kesungguhan di wajah Ustazah Maisarah membuatkan lidah kelu. Segala jawapan yang difikirkan munasabah malam tadi bagaikan berlalu.

“Semua orang yakin dengan Ila. Orang mengaji di Timur Tengah yang berceramah, tentu ramai yang pergi. Pak Imam pun dah setuju.”

“Ana tak berani nak kata setuju. Takut tak tertunai pula hajat ustazah,” tuturnya lembut.

“Tak mengapa. Terpulang pada Ila. Lambat lagi majlis tu. Ila fikirlah dulu.”


Terkesip-kesip mata Ila mengingatkan itu semua. Sudah dua hari dia terlantar tanpa jawapan. Kitab Usul ad-Dakwah karangan Dr. Abdul Karim Zaidan yang kebetulan dibawa balik dibelek-belek. Cuba dibaca beberapa perenggan. Bungkam. Segala yang melintas tidak lekat di fikiran.

Sebelum ini, tidak sekali dia terfikir perkara sedemikian akan dihadapinya. Langsung tidak pernah; biarpun dia sedar kelak dia akan bergelar siswazah Timur Tengah. Memadai sekadar itu. Dan, tidak pernah terencana di benaknya untuk menjadi pendakwah, untuk memimpin ummah!

Di Jordan, memang ada didedahkan dengan situasi sebegini. Program-program seperti usrah, tamrin, ceramah, kelas tafaqquh, semuanya ada. Cuma dia yang tidak ikut. Baginya, serupa sahaja. Kalau setakat untuk membincangkan manduk-manduk usrah, dalam kitab pun ada. Bila-bila masa boleh dibaca!

Terbayang-bayang wajah Ustazah Maisarah yang mengharap. Ila terasa dirinya kerdil jika dibandingkan dengan wanita itu. Walaupun cuma guru sekolah agama, tetapi cukup aktif. Banyak perubahan yang telah dibuatnya. Pelbagai aktiviti muslimat di desa ini di bawah pimpinannya. Suaminya Ustaz Farouk pun begitu. Sumbangan mereka terhadap perkembangan rohani dan mentaliti penduduk kampung memang tidak dapat dinafikan.

Sedang aku ini siapa? Apa amal Islami yang telah kusumbangkan? Apa peranan yang telah kumainkan demi menjadikan Islam cara hidup masyarakat? Apa persediaan yang telah kubuat demi mencanai hasrat umat? Apa…argh!

Pertanyaan yang bertalu-talu itu berlegar-legar dalam diri. Dan fikirannya melayang mengingati kehidupannya di Jordan. Sendat dengan suasana ilmu. Malangnya selama ini, program-program yang ada tidak dimanfaatkan. Dia terlalu mengutamakan studi tanpa mencari ilmu-ilmu luar sebagai bekalan untuk menghadapi masyarakat; sebagai persediaan untuk memberi pengisian, sebagaimana yang dihadapinya sekarang.

Buat pertama kali Ila berasa begitu tersayat.
“Mengapa tidak pergi dari tiap-tiap golongan di kalangan mereka beberapa orang untuk mendalami ilmu agama, dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka telah kembali kepadanya, agar mereka itu dapat menjaga dirinya.”

Firman Allah dalam Surah at-Taubah yang seringkali diulang-ulang oleh pensyarah Arabnya pada awal kuliah terngiang-ngiang, dan kali ini benar-benar menusuk. Dalam hatinya dia membuat satu jawapan buat Ustazah Maisarah. Moga ini adalah langkah yang pertama!


Petang itu, Ila kembali ke rumah setelah dua hari bermalam di rumah nenek. Sewaktu tiba di rumah, sebuah Proton Satria baru sahaja meluncur keluar dari kawasan rumahnya. Ila cam kereta siapa.

“Dah lama ustazah datang mak?”

Ibu mengangguk. Abah yang sedang membaca akhbar tersenyum meleret. Ila tidak faham makna senyuman itu. Dia terus melangkah ke kamar. Kemudian keluar semula.

“Ustazah tunggu Ila tadi.”

Ila mengutip cawan dan pinggan bekas tetamu untuk dibawa ke dapur.

“Tunggu Ila?”

Ila memandang tepat ke wajah ibunya. Ibunya juga senyum lebar.

“Dia nak tanya keputusan Ila. Kami tak berani nak kata apa.”

“Mak tak cakap yang Ila dah setuju?”

“Hai…belum apa-apa Ila dah setuju?”

“Yalah. Memang Ila dah setuju untuk jadi penceramah Maulidur Rasul nanti,” jawab Ila tenang. Namun di hatinya terbetik rasa hairan.

Abah dan ibunya saling berpandangan. Senyuman yang terukir di bibir keduanya amat sukar ditafsirkan.

“Ila…ustazah tadi datang bukan untuk tanyakan itu.”

Ila semakin tidak faham.

“Habis tu?”

“Dia datang nak risik Ila untuk anaknya.”

Kali ini Ila benar-benar terkedu!



Nota:
Tiada kena mengena dengan mana-mana individu.......
Cerpen 2nd edition......
Copyright from MUSLIMAH......ogos98

history of SOLAT

Nabi Muhammad s.a.w. merupakan nabi terakhir yang diutuskan oleh Allah s.w.t untuk membimbing manusia ke arah jalan kebenaran.Tidak seperti umat nabi-nabi yang lain, umat Nabi Muhammad telah diperintahkan untuk mengerjakan solat lima waktu setiap hari.
Ini merupakan kelebihan dan anugerah Allah terhadap umat Nabi Muhammad di mana solat tersebut akan memberikan perlindungan ketika hari pembalasan kelak.Berikut diterangkan asal usul bagaimana setiap solat mula dikerjakan.

SOLAT SUBUH
Manusia pertama yang mengerjakan solat Subuh adalah Nabi Adam a.s. iaitu ketika baginda keluar dari syurga lalu diturunkan ke bumi.Perkara pertama yang dilihatnya ialah kegelapan dan baginda berasa takut yang amat sangat.Apabila fajar subuh telah keluar, Nabi Adam a.s. pun bersembahyang dua rakaat.

Rakaat Pertama : Tanda syukur kerana baginda terlepas dari kegelapan malam.
Rakaat Kedua : Tanda bersyukur kerana siang telah menjelma.

SOLAT ZUHUR
Manusia pertama yang mengerjakan solat Zuhur ialah Nabi Ibrahim a.s. iaitu tatkala Allah telah memerintahkan padanya agar menyembelih anaknya, Nabi Ismail a.s. Seruan itu datang pada waktu tergelincir matahari, lalu, sujudlah Nabi Ibrahim sebanyak empat rakaat.

Rakaat Pertama : Tanda bersyukur bagi penebusan.
Rakaat Kedua : Tanda bersyukur kerana dibuka dukacitanya dan juga anaknya.
Rakaat Ketiga : Tanda bersyukur dan memohon akan keredhaan Allah.
Rakaat Keempat : Tanda bersyukur kerana korbannya digantikan dengan tebusan kibas.

SOLAT ASAR
Manusia pertama yang mengerjakan solat Asar ialah Nabi Yunus a.s. tatkala baginda dikeluarkan oleh Allah dari perut ikan Nun. Ikan Nun telah memuntahkan Nabi Yunus di tepi pantai, sedang ketika itu telah masuk waktu Asar.Maka bersyukurlah Nabi Yunus lalu bersembahyang empat rakaat kerana baginda telah diselamatkan oleh Allah daripada empat kegelapan iaitu:

Rakaat Pertama : Kelam dengan kesalahan.
Rakaat Kedua : Kelam dengan air laut.
Rakaat Ketiga : Kelam dengan malam.
Rakaat Keempat : Kelam dengan perut ikan Nun.

SOLAT MAGHRIB
Manusia pertama yang mengerjakan solat Maghrib ialah Nabi Isa a.s. iaitu ketika baginda dikeluarkan oleh Allah daripada kejahilan dan kebodohan kaumnya, sedang waktu itu telah terbenamnya matahari. Bersyukur Nabi Isa, lalu sembahyang tiga rakaat kerana diselamatkan dari kejahilan tersebut iaitu:

Rakaat Pertama : Untuk menafikan ketuhanan selain daripada Allah yang Maha Esa.
Rakaat Kedua : Untuk menafikan tuduhan dan juga tohmahan ke atas ibunya Siti
Maryam yang telah dituduh melakukan perbuatan sumbang.
Rakaat Ketiga : Untuk meyakinkan kaumnya bahawa Tuhan itu hanya satu iaitu Allah
semata-mata, tiada dua atau tiganya.

SOLAT ISYAK

Manusia pertama yang mengerjakan solat Isyak ialah Nabi Musa a.s. Pada ketika itu, Nabi Musa telah tersesat mencari jalan keluar dari negeri Madyan, sedang dalam dadanya penuh dengan perasaan dukacita. Allah menghilangkan semua perasaan dukacitanya itu pada waktu Isyak yang akhir. Lalu sembahyanglah Nabi Musa empat rakaat sebagai tanda bersyukur.

Rakaat Pertama : Tanda dukacita terhadap isterinya.
Rakaat Kedua : Tanda dukacita terhadap saudaranya Nabi Harun.
Rakaat Ketiga : Tanda dukacita terhadap Firaun.
Rakaat Keempat : Tanda dukacita terhadap anak Firaun.

Sumber: Copy n Paste…..

Saturday, July 09, 2005

Taubat Seorang Lelaki

Suatu malam yang hening, kelihatan seorang lelaki berjalan-jalan di sekitar Madinah dalam keadaan lapar. Dia berhenti di luar sebuah rumah kerana terhidu bau makanan. Imannya belum cukup kuat untuk membuat pertimbangan yang waras dalam menyuluh tindak tanduknya. Kerana terliur dengan makanan itu, dia menyusup masuk ke dalam rumah tanpa izin tuan rumah tersebut.

Melihat makanan yang menyelerakan di satu sudut rumah, dia segera mencapainya. Tetapi tiba-tiba dia teringatkan sesuatu. Kata-kata yang didengarnya daripada Rasulullah s.a.w dalam satu majlis ilmu di Masjid Nabi siang tadi terlintas dibenaknya. Rasulullah berpesan, "Barangsiapa meninggalkan yang haram, dia akan mendapat yang halal." Mengingatkan kata-kata itu, dia tidak jadi untuk mengambil makanan tadi. Dia hendak segera beredar, tetapi ada godaan lain pula. Telah terlihat olehnya barang kemas. Kalau dia ambil, tentu tidak ada siapa tahu. Segera barang kemas itu digenggamnya. Namun sekali lagi niat jahatnya dimatikan. Teringat lagi dia kepada pesan Rasulullah s.a.w, "Tinggalkan yang haram, dapat yang halal."

Diletak kembali barang yang berharga itu. Haram mengambil barang milik orang lain. Namun, sebelum dia beredar...datang lagi satu godaan yang lebih besar. Dadanya berdebar kencang apabila melihat seorang wanita cantik sedang lena tidur di kamar peraduannya. Pintu kamar itu dilangkah masuk. Wanita itu dirapatinya. Tangannya menggeletar, peluh memercik membasahi tubuh. Nafsu membisikkan kata-kata indah untuknya. Berlaku perebutan nafsu dan bisikan kata-kata Rasulullah s.a.w, " Tinggalkan yang haram, akan dapat yang halal."

Akhirnya dia beristighfar dan perlahan-lahan beredar. Berkat pesanan Rasulullah s.a.w yang melekat di sanubarinya, dia berjaya mematahkan keinginan nafsunya. Kelegaan yang amat sangat terasa di hatinya apabila keluar dari rumah wanita tadi dan kemudian memijakkan kaki di Masjid Nabi.

Kerana berjaya dalam peperangan sengit mengalahkan nafsu yang mengajak kepada yang haram, dia diberi ketenangan yang luar biasa oleh Allah SWT.Seketika kemudian, subuh tiba. Selepas solat subuh berjemaah, lelaki itu merebahkan diri di masjid kerana terlalu mengantuk akibat berjaga semalaman. Apabila matahari telah meninggi, seorang wanita datang bertemu dengan Rasulullah s.a.w di masjid. Dia mengadu rumahnya dimasuki orang. Dia takut diganggu lagi, lalu memohon mendapakan seorang pengawal yang dapat menjaga harta bendanya. Setelah ditanya, rupanya si wanita itu seorang janda. Baginda memandang sekeliling kalau-kalau ada orang yang dapat menjaga wanita itu. Melihat lelaki yang sedang lena di suatu sudut masjid, baginda menemuinya. Ditanyakan siapakah gerangannya dan adakah dia telah beristeri. "Saya seorang duda," jawab lelaki itu yang hidupnya kurang terurus selepas kematian isterinya. Baginda bertanya apakah kedua-dua janda dan duda itu bersetuju untuk dijodohkan. Mereka berdua tersipu malu.

Kerana terharu dengan pilihan Rasulullah s.a.w dan teringat perbuatannya malam tadi, lelaki itu tidak dapat menahan diri daripada menangis lalu menceritakan apa yang sebenarnya berlaku di rumah wanita tersebut. Lalu, dia bertaubat. Akhirnya Rasulullah s.a.w berkenan menikahkan lelaki dan wanita itu dengan disaksikan oleh para Sahabat. Demikianlah, berkat meninggalkan yang haram, dia mendapat yang halal sebagai gantinya. Kini, wanita cantik itu dan segala di dalam rumah itu menjadi halal baginya.

Thursday, July 07, 2005

Ambil Pengalaman.........

Pengakuan Oleh Seorang Pelajar Cemerlang

Siti Mahfuzah Syafie, 23
Pelajar Cemerlang 1999,Darul Quran dengan Diploma
Pangkat Mumtaz (Cemerlang)
Berasal dari Merlimau, Melaka.

“Ketika mula memasuki Darul Quran, memang terasa susah untuk menghafaz al-Quran, namun dengan berlalunya masa, perasaan seronok dan cintakan al-Quran kian terasa.

Minat yang mendalam tanpa paksaan daripada sesiapa memudahkan seseorang menghafaz al-Quran. Juga penting ialah menjaga pemakanan, pandangan dan hati untuk memelihara hafalan al-Quran.

Memang sukar menghafaz al-Quran secara sendirian. Remaja yang berminat harus berguru dan bersama masyarakat yang memegang al-Quran. Ilmu al-Quran tidak harus ditinggalkan terus, kerana ilmu dunia dan ilmu akhirat adalah lebih berharga berbanding ilmu dunia semata-mata.

Di Darul Quran jadual disusun rapi. Pelajar perlu menghafaz al-Quran sambil disemak oleh guru pada setiap pagi diikuti mata pelajaran biasa pada tengah hari hingga petang.

Selepas tu, pelajar bebas melakukan aktiviti masing-masing. Lazimnya waktu inilah saya gunakan sepenuhnya untuk menghafaz al-Quran sebagai persediaan untuk disemak bacaan oleh guru keesokan hari.

Bukan mudah menghafaz al-Quran. Ada kalanya seharian mencuba, saya masih tidak dapat menguasai satu ain. Untuk mendapat keputusan pangkat mumtaz (cemerlang) di Darul Quran, pelajar bukan sahaja perlu menghafaz 30 juzuk Quran, tetapi juga berjaya dalam setiap mata pelajaran yang lain.

Jadi kita harus betul-betul bahagikan masa untuk menghafaz dan mengulang kaji mata pelajaran yang lain. Saya memanfaatkan waktu-waktu ‘terluang’ sepenuhnya untuk mengulang kaji mata pelajaran yang lain.

Ada kalanya rakan-rakan mengajak kita melakukan sesuatu yang mungkin disifatkan sebagai membuang masa atau memonteng kelas. Tetapi saya selalu ingatkan diri bahawa saya di Darul Quran untuk menuntut ilmu. Di samping itu, saya sering terfikirkan ibu dan ayah apabila melakukan sesuatu.


Selain menghadapi pelajaran, saya tetap aktif memegang beberapa jawatan pada tahun dua sebagai Naib Yang Dipertua Persatuan Kebajikan Maahad Tahfiz, dan ketua asrama.

Selepas ini saya berhasrat meneruskan pengajian dalam bidang pendidikan kerana saya ingin menjadi seorang pendidik. Jauh di sudut hati, saya ingin melanjutkan pelajaran dalam bidang agama di Timur Tengah.

Namun apakan daya, ekonomi keluarga tidak mengizinkan saya meneruskan cita-cita tersebut. Bapa saya meninggal dunia ketika saya di tahun dua, manakala ibu saya bekerja di sebuah kantin sekolah sebagai tukang masak.”

Sumber Cerita:
AL-ISLAM,
Julai, 1999

KESIMPULANNYA:
~ Belajarlah bersungguh-sungguh kerana tiada benda yang datang bergolek tanpa usaha.
~ Gunakanlah masa yang terluang dengan sepenuhnya.
~ Bersyukurlah kita kepada-Nya kerana kita masih diberi peluang untuk menuntut ilmu.


Friday, July 01, 2005

Lakukanlah 'SOLAT'

Kisah ini diceritakan oleh seorang ustaz yang bertugas memandikan mayat orang Islam di hospital. Lebih kurang jam 3.30 pagi, saya menerima panggilan dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, Selangor untuk menguruskan jenazah lelaki yang sudah seminggu tidak dituntut. Di luar bilik mayat itu cukup dingin dan gelap serta sunyi dan hening.

Hanya saya dan seorang penjaga bilik tersebut yang berada dalam bilik berkenaan. Saya membuka dengan hati-hati penutup muka jenazah. Kulitnya putih,badannya kecil dan berusia awal 20-an. Allah Maha Berkuasa.

Tiba-tiba saya lihat muka jenazah itu sedikit demi sedikit bertukar menjadi hitam. Mulanya saya tidak menganggap ia sebagai aneh, namun apabila semakin lama semakin hitam, hati saya mula bertanya-tanya. Saya terus menatap perubahan itu dengan teliti, sambil di hati tidak berhenti-henti membaca ayat-ayat suci Al-Quran. Detik demi detik berlalu,wajah jenazah semakin hitam.

Selepas lima minit berlalu,barulah ia berhenti bertukar warna. Ketika itu wajah mayat berkenaan tidak lagi putih seperti warna asalnya,tetapi hitam seperti terbakar. Saya keluar dari bilik berkenaan dan duduk termenung memikirkan kejadian aneh yang berlaku itu. Pelbagai pertanyaan timbul di kepala saya; apakah yang sebenarnya telah terjadi? Siapakah pemuda itu? Mengapa wajahnya bertukar hitam? Persoalan demi persoalan muncul di fikiran saya.

Sedang saya termenung tiba-tiba saya dapati ada seorang wanita berjalan menuju ke arah saya. Satu lagi pertanyaan timbul, siapa pula wanita ini yang berjalan seorang diri di bilik mayat pada pukul 4.00 Semakin lama dia semakin hampir, dan tidak lama kemudian berdiri di hadapan saya. Dia berusia 60-an dan memakai baju kurung. Ustaz," kata wanita itu. "Saya dengar anak saya meninggal dunia dan sudah seminggu mayatnya tidak dituntut. Jadi saya nak tengok jenazahnya." kata wanita berkenaan dengan lembut.

Walaupun hati saya ada sedikit tanda tanya,namun saya membawa juga wanita itu ke tempat jenazah tersebut. Saya tarik laci 313 dan buka kain penutup wajahnya. "Betulkah ini mayat anak mak cik?"tanya saya. "Mak cik rasa betul... tapi kulitnya putih." "Makcik lihatlah betul-betul." kata saya. Selepas ditelitinya jenazah berkenaan, wanita itu begitu yakin yang mayat itu adalah anaknya. Saya tutup kembali kain penutup mayat dan menolak kembali lacinya ke dalam dan membawa wanita itu keluar dari bilik mayat.

Tiba di luar saya bertanya kepadanya. "Mak cik, ceritakanlah kepada saya apa sebenarnya yang berlaku sampai wajah anak mak cik bertukar jadi hitam?" tanya saya. Wanita itu tidak mahu menjawab sebaliknya menangis teresak-esak. Saya ulangi pertanyaan tetapi ia masih enggan menjawab. Dia seperti menyembunyikan sesuatu."Baiklah, kalau mak cik tidak mahu beritahu,saya tak mahu uruskan jenazah anak mak cik ini. " kata saya untuk menggertaknya. Bila saya berkata demikian, barulah wanita itu membuka mulutnya. Sambil mengesat airmata, dia berkata, "Ustaz, anak saya ni memang baik, patuh dan taat kepada saya. Jika dikejutkan di waktu malam atau pagi supaya buat sesuatu kerja, dia akan bangun dan buat kerja itu tanpa membantah sepatahpun. Dia memang anak yang baik. Tapi..." tambah wanita itu lagi "apabila makcik kejutkan dia untuk bangun sembahyang, Subuh misalnya, dia mengamuk marahkan mak cik. Kejutlah dia, suruhlah dia pergi ke kedai, dalam hujan lebat pun dia akan pergi, tapi kalau dikejutkan supaya bangun sembahyang,anak makcik ini akan terus naik angin. Itulah yang mak cik kesalkan." kata wanita tersebut. Jawapannya itu memeranjatkan saya.

Teringat saya kepada hadis nabi bahawa barang siapa yang tidak sembahyang, maka akan ditarik cahaya iman dari wajahnya. Mungkin itulah yang berlaku. Wajah pemuda itu bukan sahaja ditarik cahaya keimanannya, malah diaibkan dengan warna yang hitam.Selepas menceritakan perangai anaknya, wanita tersebut meminta diri untuk pulang.Dia berjalan dengan pantas dan hilang dalam persekitaran yang gelap.Kemudian saya pun memandikan, mengapankan dan menyembahyangkannya.

Selesai urusan itu, saya kembali ke rumah semula. Saya perlu balik secepat mungkin kerana perlu bertugas keesokan harinya sebagai imam di Masjid Sultan Sallehuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam. Selang dua tiga hari kemudian, entah kenapa hati saya begitu tergerak untuk menghubungi waris mayat pemuda tersebut. Melalui nombor telefon yang diberikan oleh Hospital Tengku Ampuan Rahimah, saya hubungi saudara Allahyarham yang agak jauh pertalian persaudaraannya. Selepas memperkenalkan diri, saya berkata, "Encik, kenapa encik biarkan orang tua itu datang ke hospital seorang diri di pagi-pagi hari. Rasanya lebih elok kalau encik dan keluarga encik yang datang sebab encik tinggal di Kuala Lumpur lebih dekat dengan Klang."

Pertanyaan saya itu menyebabkan dia terkejut, "Orang tua mana pula?" katanya. Saya ceritakan tentang wanita berkenaan, tentang bentuk badannya, wajahnya,tuturannya serta pakaiannya. "Kalau wanita itu yang ustaz katakan, perempuan itu adalah emaknya, tapi.... emaknya dah meninggal lima tahun lalu!" Saya terpaku, tidak tahu apa yang hendak dikatakan lagi. Jadi 'apakah' yang datang menemui saya pagi itu?Walau siapa pun wanita itu dalam erti kata sebenarnya, saya yakin ia adalah 'sesuatu' yang Allah turunkan untuk memberitahu kita apa yang sebenarnya telah berlaku hingga menyebabkan wajah pemuda berkenaan bertukar hitam. Peristiwa tersebut telah terjadi lebih setahun lalu, tapi masih segar dalam ingatan saya.

Ia mengingatkan saya kepada sebuah hadis nabi, yang bermaksud bahawa jika seseorang itu meninggalkan sembahyang satu waktu dengan sengaja,dia akan ditempatkan di neraka selama 80,000 tahun. Bayangkanlah seksaan yang akan dilalui kerana satu hari di akhirat bersamaan dengan seribu tahun di dunia. Kalau 80,000 tahun?

-sekian-

Nota: **Mati Hanya Sekali, Oleh Itu Jadikannya Di Jalan Allah**