Thursday, July 07, 2005

Ambil Pengalaman.........

Pengakuan Oleh Seorang Pelajar Cemerlang

Siti Mahfuzah Syafie, 23
Pelajar Cemerlang 1999,Darul Quran dengan Diploma
Pangkat Mumtaz (Cemerlang)
Berasal dari Merlimau, Melaka.

“Ketika mula memasuki Darul Quran, memang terasa susah untuk menghafaz al-Quran, namun dengan berlalunya masa, perasaan seronok dan cintakan al-Quran kian terasa.

Minat yang mendalam tanpa paksaan daripada sesiapa memudahkan seseorang menghafaz al-Quran. Juga penting ialah menjaga pemakanan, pandangan dan hati untuk memelihara hafalan al-Quran.

Memang sukar menghafaz al-Quran secara sendirian. Remaja yang berminat harus berguru dan bersama masyarakat yang memegang al-Quran. Ilmu al-Quran tidak harus ditinggalkan terus, kerana ilmu dunia dan ilmu akhirat adalah lebih berharga berbanding ilmu dunia semata-mata.

Di Darul Quran jadual disusun rapi. Pelajar perlu menghafaz al-Quran sambil disemak oleh guru pada setiap pagi diikuti mata pelajaran biasa pada tengah hari hingga petang.

Selepas tu, pelajar bebas melakukan aktiviti masing-masing. Lazimnya waktu inilah saya gunakan sepenuhnya untuk menghafaz al-Quran sebagai persediaan untuk disemak bacaan oleh guru keesokan hari.

Bukan mudah menghafaz al-Quran. Ada kalanya seharian mencuba, saya masih tidak dapat menguasai satu ain. Untuk mendapat keputusan pangkat mumtaz (cemerlang) di Darul Quran, pelajar bukan sahaja perlu menghafaz 30 juzuk Quran, tetapi juga berjaya dalam setiap mata pelajaran yang lain.

Jadi kita harus betul-betul bahagikan masa untuk menghafaz dan mengulang kaji mata pelajaran yang lain. Saya memanfaatkan waktu-waktu ‘terluang’ sepenuhnya untuk mengulang kaji mata pelajaran yang lain.

Ada kalanya rakan-rakan mengajak kita melakukan sesuatu yang mungkin disifatkan sebagai membuang masa atau memonteng kelas. Tetapi saya selalu ingatkan diri bahawa saya di Darul Quran untuk menuntut ilmu. Di samping itu, saya sering terfikirkan ibu dan ayah apabila melakukan sesuatu.


Selain menghadapi pelajaran, saya tetap aktif memegang beberapa jawatan pada tahun dua sebagai Naib Yang Dipertua Persatuan Kebajikan Maahad Tahfiz, dan ketua asrama.

Selepas ini saya berhasrat meneruskan pengajian dalam bidang pendidikan kerana saya ingin menjadi seorang pendidik. Jauh di sudut hati, saya ingin melanjutkan pelajaran dalam bidang agama di Timur Tengah.

Namun apakan daya, ekonomi keluarga tidak mengizinkan saya meneruskan cita-cita tersebut. Bapa saya meninggal dunia ketika saya di tahun dua, manakala ibu saya bekerja di sebuah kantin sekolah sebagai tukang masak.”

Sumber Cerita:
AL-ISLAM,
Julai, 1999

KESIMPULANNYA:
~ Belajarlah bersungguh-sungguh kerana tiada benda yang datang bergolek tanpa usaha.
~ Gunakanlah masa yang terluang dengan sepenuhnya.
~ Bersyukurlah kita kepada-Nya kerana kita masih diberi peluang untuk menuntut ilmu.


No comments: