Thursday, July 21, 2005

Pinjamkanlah 'Ia'

Suatu hari ‘Ali pulang ke rumahnya dari rumah Nabi S.A.W., dan menemui Fatimah. Salman al-Farisi berada di rumah Fatimah, sedang menceraiberaikan bulu-bulu domba untuk Fatimah, sedang Fatimah sendiri sedang memintal.

“Adakah makanan yang boleh dimakan suamimu, wanita mulia?” Tanya ‘Ali.

“Demi Allah, aku tak memiliki apa-apa. Tapi ini ada enam dirham yang diberi Salman ketika aku memintal tadi. Sebenarnya aku ingin membeli makanan untuk Hasan dan Husain”.

“Wanita mulia, mana wang itu. Biar aku yang membelikannya,” kata ‘Ali. Wang itu diberikannya kepada ‘Ali.

Di tengah jalan, ‘Ali bertemu dengan seorang laki-laki. Laki-laki itu berkata: “Siapa gerangan yang mahu menghutangi Tuhan Yang Maha Pengasih dan Maha Memenuhi Janji?”. ‘Ali mendekati orang itu, dan serta merta memberikan semua wang yang hendak dibelikan makanan itu.

‘Ali kembali ke rumah tanpa membawa apa-apa. Ketika Fatimah tahu, ia menangis.”Wanita mulia, mengapa menangis?” Tanya ‘Ali.
“Wahai anak paman Rasulullah, Engkau pulang tanpa membawa apa-apa”.
“Wanita mulia, aku telah meminjamkannya kepada Allah”.
“Baiklah kalau begitu”, jawab Fatimah.

‘Ali lalu keluar dengan maksud untuk menemui Nabi. Tiba-tiba datang kepadanya seorang Badwi yang menuntun unta.

“Abu Hassan. Belilah unta ini,“ kata orang itu.
“Aku tidak ada duit,” jawab ‘Ali.
“Mudah sahaja. Wangnya bila-bila pun boleh”
“Berapa kau jual?”
“Seratus dirham”
“Baiklah, aku beli”

Selang beberapa langkah, tiba-tiba muncul Badwi yang lain.

“Wahai Abu Hassan ! Kau jualkah unta itu?” tanyanya.
“Ya”.
“Berapa?”
“Tiga ratus dirham”.
“Baiklah”. Orang itu mengeluarkan wangnya dan mengambil unta itu.

‘Ali pulang ke rumah. Fatimah tersenyum melihat ‘Ali.

“Apa yang kau dapatkan, Abu Hassan?”
“Aku membeli unta seratus dirham dengan hutang, ku jual tiga ratus dirham tunai”.
“Setuju,” kata Fatimah.

Kemudian ‘Ali menghadap Rasulullah S.A.W. di masjid. Ketika ia memasuki pintu masjid, Nabi melihatnya, dan tersenyum. Setelah memberi salam kepada Nabi, Nabi menyapanya: “Wahai Abu Hassan, kau yang akan memberi khabar kepada aku, atau aku yang memberi khabar?”

“Tuanlah yang mestinya memberi, wahai Rasulullah”.

Berkata Nabi: “Berbahagialah kau, ‘Ali. Engkau telah meminjamkan Allah enam dirham dan Allah memberimu tiga ratus dirham. Allah mengganti tiap dirham menjadi lima puluh dirham. Orang yang pertama datang kepadamu itu Jibril, sedang yang kedua Israfil”.

No comments: