Friday, January 13, 2006

Apa Kata Mereka ???

MAHATMA GANDHI

-Tokoh yang terkenal dengan kepandaiannya dalam ilmu kebatinan, dan seorang pemimpin India yang terkemukapernah berkata di hadapan para pengikutnya:

“Aku benar-benar percaya, bukan pedang yang menyebabkan Islam mempunyai kedudukan dalam perjuangan hidup ini, tapi kerana sopan santun Nabinya yang sempurna, lemah lembut dan ikhlas kepada sahabat handai serta taulannya, menghormati perjanjian yang dibuatnya, sabar serta berani dan tidak memperdulikan bahaya dan bencana, juga percaya penuh kepada Tuhannya.

Inilah semua yang dapat mengalahkan segala rintangan yang ada di hadapan kaum muslimin dulu, dan dapat mengalahkan segala kesukaran yang dating.”


MANSEIUR FRANCISCO EZOULDO

-Seorang ahli sejarah dan penyelidik menerangkan :

“Muhammad lahir, lalu hiduplah negeri-negeri di Jazirah Arab. Dia memimpin bangsa Arab mencapai kemajuan. Dia bergerak bersama-sama dengan mereka, sehingga dapat mencapai martabat yang lebih tinggi.

Belumpun genap satu abad, cahaya Muhammad sudahpun bersinar ke seluruh alam. Muhammad memang benar utusan Allah dan Nabi Allah yang terakhir. Dan sampai pada masa Khulafa Rasyidin yang membuka beberapa negeri, senjata meeka hanyalah kemahuan yang tidak dapat diundur lagi, dan iman yang tetap teguh. Keberanian mereka sungguh menabjukkan.

Semua orang yang memeluk agama Islam, sama ada dari bangsa Arab atau bukan, sama-sama mendapat hak yang penuh sebagai seorang Islam. Tidak ada perbezaan hak di antara mereka, kerana di dalam Islam mereka semuanya besaudara. Berkibar panji persamaan demokrasi yang nyata.”


MANOOR GLLIM LIONAARD

-Seorang sarjana yang berbangsa inggeris pernah berkata:

“Eropah wajib menjauhkan pandangannya yang serong terhadap agama Islam. Sebaliknya ucapan syukur patut dilahirkan, sebagai pengganti diri mereka yang buruk.

Sampai saat ini, Eropah masih juga belum mahu mengakui dengan hati suci dan ikhlas tentang kebesaran agama yang kekal ini, agama yang memimpin kepada kemajuan dan kesopanan. Eropah hanya mengakuinya ketika berada dalam zaman kebodohannya dulu.

Kemajuan Islam sewaktu berada di tangan orang-orang Islam telah mencapai kedudukan yang paling tinggi, sama ada dalam urusan negara ataupun dalam dalam ilmu pengetahuan. Islamlah yang menghidupkan bangsa Eropah yang sedang terapung-apung, memelihara Eropah supaya tidak terbenam lebih dalam lagi.

Kenapa kita tidak mengakuinya? Apakah kita merasa tinggi dan berada di atas puncak kemajuan? Padahal, kalau tidak kerana Islam, sampai hari ini Eropah masih berada dalam lembah kebingungan?

Apakah kita lupa akan kecekapan khalifah-khalifah sewaktu jatuhnya kerajaan Rom dan Parsi, sedangkan ketika itu Eropah masih nyenyak tidur dibawa awan kebiadapan? Apakah Eropah sengaja melupakan hasil amal dan usaha orang Islam yang didatangkan, dan kemasyhuran yang masih tinggal dalam kitab-kitabnya, hanya kerana dengki dan tidak mahu mengucapkan terima kasih?

Apakah kita sudah lupa tentang kerugian yang amat merugikan alam umumnya, kerana kesalahn kita membakar beribu-ribu kitab hanya kerana fanatik? Apakah tidak patut kalau dikatakan, Eropah menggunakan tenaganya selama beberapa abad untuk menyembunyikan ucapan syukur kepada orang Islam?

Ketahuilah, bahawa kalimat syukur itu lebih baik dilahirkan terus terang dari disembunyikan sampai sekian lamanya. Biarlah Eropah mengakui saja kesalahannya yang sudah-sudah itu.”

Saturday, December 03, 2005

Fwd : Cinta Islamik ???



Salam ditututur pembuka bicara
tajuk ditulis penuh makna
andai faham fahamla ia
tak faham juga, entah nak dikata..

Cinta dan remaja xpernah sudah dibicarakan di mana-mana sahaja, bukalah laman forum remaja mana2 pasti cerita ini tak lekang didiskusikan. Bagi yang mempunyai secebis kefahaman agama cuba meng'Islamisasi'kan hubungan cinta ini agar nampak terjaga dan terpelihara. Kata Syeikh Dr Yusof al-Qaradhawi, hubungan cinta sebelum perkahwinan TAK pernah diiktiraf oleh Islam..(Ahkam.net,2004). Jd, apa perlu dkata lagi?

"Eh, tak! Kami bercinta tak pernah dating.."
"Kami bercinta pun, majlis ilmu sama-sama kami pergi.."
"Kami jaga hati kami, biar bercinta Tuhan tetap no 1, solat tak tinggal.."
Yakah, mungkin ini sebahagian drp kata2 mereka yang mengamalkan 'Cinta Islamik' di kalangan remaja kita (terutamanya dari sekolah agama la..) anda mempunyai tafsiran dan pandangan anda tersendiri namun saya hidangkan di sini sebuah cerita yang cukup menarik dipetik di akhbar mingguan ttg mulanya mengamalkan 'Cinta Islamik' ttp lihatlah apa dah jadi..
isy232..beri perhatian perkataan yg dihitamkan moga memberi manfaat untuk semua..(perkataan berwarna merah adalah daripada saya)



``Saya berusia awal 20-an, masih menuntut di sebuah kolej tempatan. Saya bersyukur ibu bapa saya mahu menghantar saya belajar dan melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi supaya saya mudah mendapat kerja apabila lulus nanti.

``Saya bersyukur dengan niat mereka, tetapi sebagai manusia kita tidak boleh menghalang apa yang dikehendaki-Nya berlaku ke atas kita. Kita boleh berusaha menjauhkannya tetapi kalau tidak boleh dipisahkan lagi apa yang boleh kita lakukan selain menyerah kepada takdir.

``Dan saya juga ingin menjelaskan setiap manusia ini berlainan cita rasa mereka. Ada yang berfikiran terbuka, semua boleh dan ada yang masih boleh menimbangkan buruk dan baiknya. Kerana sebagai manusia kita sentiasa terdedah kepada maksiat.

``Apabila sudah dihantar belajar ke kolej tentulah pelajarnya terdiri daripada lelaki dan wanita. Sudah tentu ada batas-batasnya. Dan saya katakan saya tidak selesa bergaul bebas dengan bukan muhrim, sebab mereka tidak ada ikatan perkahwinan untuk mengawal diri daripada melakukan perkara yang tidak baik.

``Tetapi saya masih tidak faham mengapa ada ibu bapa tidak membenarkan anaknya berkahwin ketika masih menuntut, malah memberi syarat kalau nak kahwin juga mesti lulus kolej dulu, lepas itu bekerja dua, tiga tahun baru fikir fasal kahwin. Mungkin pada gadis lain syarat itu tidak ada masalahnya, tetapi kepada saya syarat itu langsung tidak berperikemanusiaan.

``Saya dan Azizie bakal suami (saya tidak suka menggunakan istilah teman lelaki) telah setuju untuk berkahwin semasa masih menuntut. Kami yakin kemampuan kami, masih boleh belajar dengan baik, tetapi mengapa hasrat kami yang suci murni ini dilarang keras oleh ibu bapa Azizie. Apakah mereka suka kami *&*&^%**?

``Kami amat tertekan dengan syarat tersebut, ia terlalu lama. Saya hairan mengapa ibu bapanya tidak faham kehendak kami. Sepatutnya apabila seseorang anak itu telah meminta sesuatu keinginan, maka itu mungkin merupakan sesuatu permintaan untuk kebaikan mereka.

``Tujuan kami ingin berkahwin semasa belajar bukan untuk keseronokan (seks) semata-mata. Tetapi memudahkan kami belajar bersama-sama dalam keadaan yang sah bagi mengelakkan berlakunya perkara yang buruk seperti keterlanjuran berzina.

``Pada saya Azizie bukan lelaki sembarangan, baik budi pekertinya, keluarganya orang alim, dan sifat-sifat inilah yang banyak Azizie warisi dan saya pilih dia supaya dia dapat membimbing saya ke alam rumah tangga yang lebih baik menjadi isteri solehah.
``Pada awal persahabatan, kami berjaya membatasi hubungan kami, sebagai contoh kami tidak pernah berdating dan tidak suka membuang masa.(*Cinta Islamik?) Tetapi setelah setahun kami bimbang berlaku perkara yang tidak baik. Kami bimbangkan gangguan syaitan.

``Kini saya sudah mula berasa sayang yang teramat sangat terhadap Azizie, saya tahu dia juga begitu. Ketika inilah dugaan semakin banyak menguji kami. Dugaan nafsu paling hebat, semakin disekat semakin luruh hati rasanya ketika berpisah. Cinta kami juga terasa amat mendalam. Saya rasa amat bahagia saat-saat cinta dan mencintai, tetapi kami masih ada batas-batas agama. Islam sebagai panduan hidup kami.
``Namun ujian nafsu godaan syaitan amat besar, bermula dari detik-detik bersentuhan tangan dan badan secara tidak sengaja, membuatkan jantung saya berdebar kencang. Akhirnya terjadilah kami berpegangan tangan. Dan seterusnya yang paling menakutkan, kami telah hampir-hampir terjebak dalam perkara yang kami paling jauhi selama ini iaitu zina. (*Cinta Islamik?)

``Saya ingin bertanya mengapa dan apa puncanya perkara yang dimurkai Allah ini hampir kami lakukan? Pada kami semua ini berlaku kerana hasrat dan kehendak kami ingin segera berkahwin dibantah dengan pelbagai syarat oleh kedua-dua ibu bapa Azizie.

``Pada saya ditakdirkan berlaku sesuatu yang tidak baik itu semua adalah berpunca daripada mereka, sebab mereka menolak hasrat dan perasaan kami. Kenapa hasrat baik kami disekat? Alasan ibu dan ayah Azizie semata-mata kami masih belajar dan belum bekerja. Kata mereka, kalau kami berkahwin sudah pasti kami tidak berkemampuan dari segi kewangan.

``Bagi keluarga saya pula, mereka bersetuju kami berkahwin cepat walaupun masih menuntut, tujuannya supaya kami dapat elakkan terlibat dengan perbuatan maksiat dan mungkin dengan berkahwin boleh membawa keberkatan kepada hidup kami.

``Saya benar-benar hairan mengapa ibu bapa Azizie yang kuat beragama dan masih berfikiran konservatif itu membantah hasrat kami berkahwin semasa masih menuntut. Pada saya dengan berkahwin kami sudah ada ikatan yang sah. Tidak ada masalah untuk belajar bersama.

``Bohonglah kami kalau saya katakan kami tidak pernah melakukan perbuatan terkutuk itu, kerana keinginan kami melebihi segala-galanya, dan kami masih meneruskannya, walaupun kami tahu ia berdosa besar, namun kami tidak berdaya lagi menghalangnya.

``Persoalannya mengapa perkara yang baik itu mesti dilambat-lambatkan dan disusahkan? Walhal keluarga Azizie tahu buruk baiknya pergaulan antara lelaki dan wanita bukan muhrim. Jangan bimbangkan soal kewangan, tahulah kami menguruskannya dan kami ada simpanan sendiri walaupun sedikit. Jangan bimbang juga tentang jodoh kami. Sebaliknya berdoalah kepada Allah agar kami selamat sejahtera hingga ke anak cucu kami nanti.

``Tujuan utama kami ingin berkahwin semasa belajar, adalah untuk membolehkan kami belajar bersama kerana kami sekuliah dan untuk mengelakkan tohmahan orang yang mengata kami asyik berkepit ke hulu ke hilir tak tahu dosa pahala, dan paling utama niat kami untuk mengikut sunah Rasul iaitu untuk mengelakkan maksiat.

``Pokok pangkalnya mengapa sesuatu perkara yang disukai oleh Islam dan Nabi dianggap macam suatu perkara yang boleh membebankan semua orang. Perkahwinan bagi kami mungkin akan melahirkan keberkatan dari segi perhubungan, kewangan dan pelajaran.

``Wahai ibu bapa semua, sedarkah kamu bahawa jika anak-anak kamu inginkan sesuatu perkara, bermaksud ada sebab penting di sebalik permintaannya. Janganlah biarkan kami terlibat dalam perbuatan yang tidak baik, semata-mata kerana syarat anda.

``Saya masih kurang faham apa salahnya berkahwin ketika masih menuntut, sepatutnya mereka membantu kami memudahkan kami suami isteri belajar bersama, mengelakkan tohmahan orang. Semoga ibu bapa kami sedar mengapa kami meminta berkahwin awal, ia lebih baik daripada membiarkan kami berdampingan dengan maksiat. Saya tidak mahukan perkahwinan yang terlalu mahal, kami cuma mahukan ikatan yang sah menurut Islam.

``Namun apa yang lebih penting saya amat mencintai dan menyayangi Azizie begitu juga Azizie terhadap saya, dan kami tidak dapat menumpukan sepenuh perhatian terhadap pembelajaran jika kami tidak berdekatan. Masa bersama memang kami boleh belajar dengan baik, apabila pulang ke rumah masing-masing fikiran sudah tidak dapat fokus, kerana perasaan kasih dan sayang kami yang amat mendalam, rasa-rasanya kami tak boleh berpisah walaupun seketika.

``Saya amat mencintai Azizie kerana keperibadiannya dan ilmu pengetahuannya yang begitu mendalam tentang agama Islam dan saya mahu dia membimbing saya menjadi isteri yang solehah. Jadi mengapa harus menyekat hubungan baik kami ini dengan meletakkan syarat-syarat yang langsung tak masuk akal. Adakah salah berkahwin semasa masih belajar? Tak ada pun undang-undang yang menyekat berbuat demikian.

``Kepada ibu bapa Azizie jika anda tahu buruk baiknya hubungan antara lelaki dan perempuan, dan tidak mahu kami melakukan maksiat, jodohkanlah kami secepat mungkin. Berapa lama lagi kami harus bersabar sedangkan umur kami sudah melayakkan kami berkahwin.

``Banyak juga orang lain kahwin semasa belajar dan mereka berjaya. Jadi mengapa kami tak boleh? Yang peliknya mengapa mesti sekat benda yang baik dijalankan segera, mesti ada syarat, mesti ada kelulusan dan mesti bekerja dahulu. Apa yang penting nikah, melaksanakan perkara yang baik didahulukan supaya tidak berlaku maksiat.

``Tanpa ikatan apabila kami berjalan berdua-duaan (lelaki perempuan bukan muhrim) di taman atau membeli-belah orang kata, kami tak tahu agama, apabila nak kahwin tak dibenarkan, inilah masalah besar yang dihadapi oleh ramai pasangan yang masih belajar sekarang.

``Kami tahu apabila kami melahirkan perasaan hati kami seperti ini mungkin ramai pembaca mendakwa kami cuma mementingkan diri sendiri, tak mahu dengar nasihat orang tua, tak pentingkan pelajaran dan masa depan. Tetapi anda semua kena faham inilah masalah yang ramai kalangan kami hadapi, mahu berkahwin tapi ibu bapa tak bagi. Memang saya tak nafikan ada kalangan kawan-kawan kami yang cuma suka berkawan tapi tak mahu berkahwin. Mereka lain, kami lain. Pegangan agama kami lebih kuat daripada mereka. ()


``Sebenarnya apa yang ingin saya sampaikan ini setelah berasa amat kecewa dengan sikap ibu bapa Azizie yang tak izinkan kami berkahwin dahulu walaupun setelah berkali-kali kami merayu dan memohon. Namun hidup mesti diteruskan dan selera kami juga seperti manusia biasa sukar diramalkan. Hanya doa sahaja yang terdaya kami lafazkan agar Allah menjauhkan perkara yang tidak baik mendekati kami.

``Kami bimbang tewas dengan godaan yang datang. Kepada ibu dan ayah maafkan kami jika perbuatan kami ini mungkin memalukan. Jika tidak, tunaikanlah permintaan kami. Saya tidak perlukan segala macam hantaran dan perbelanjaan, yang saya mahukan cuma ikatan yang sah mengikut agama demi masa depan kami,'' kata Shafina.


Fikir-fikirkanlah...

Wednesday, September 14, 2005

10 Hak Yang Mesti Ditunaikan



SEBELUM Imam Syafie pulang ke rahmatullah, beliau sempat berwasiat kepada para muridnya dan umat islam seluruhnya.Berikut ialah kandungan wasiat tersebut: "Barangsiapa yang ingin meninggalkan dunia dalam keadaan selamat maka hendaklah ia mengamalkan sepuluh perkara."


PERTAMA : HAK KEPADA DIRI.

Iaitu: Mengurangkan tidur, mengurangkan makan, mengurangkan percakapan dan berpada-pada dengan rezeki yang ada.


KEDUA : HAK KEPADA MALAIKAT MAUT.

Iaitu: Mengqadhakan kewajipan-kewajipan yang tertinggal, mendapatkan kemaafan dari orang yang kita zalimi, membuat persediaan untuk mati dan merasa cinta kepada Allah. KETIGA :


HAK KEPADA KUBUR.

Iaitu : Membuang tabiat suka menabur fitnah, membuang tabiat kencing merata-rata, memperbanyakkan solat Tahajjud dan membantu orang yang dizalimi. KEEMPAT : HAK


KEPADA MUNKAR DAN NAKIR.

Iaitu : Tidak berdusta, berkata benar, meninggalkan maksiat dan nasihat menasihati. KELIMA :


HAK KEPADA MIZAN (NERACA TIMBANGAN AMAL PADA HARI KIAMAT)

Iaitu : Menahan kemarahan, banyak berzikir, mengikhlaskan amalan dan sanggup menanggung kesusahan.


KEENAM : HAK KEPADA SIRAT (TITIAN YANG MERENTANGI NERAKA PADA HARI AKHIRAT)

Iaitu : Membuang tabiat suka mengumpat, bersikap warak, suka membantu orang beriman dan suka berjemaah.


KETUJUH : HAK KEPADA MALIK (PENJAGA NERAKA)

Iaitu : Menangis lantaran takutkan Allah SWT, berbuat baik kepada ibu bapa,bersedekah secara terang-terangan serta sembunyi dan memperelok akhlak.


KELAPAN : HAK KEPADA RIDHWAN (MALAIKAT PENJAGA SYURGA)

Iaitu : Berasa redha dengan Qadha' Allah, bersabar menerima bala,bersyukur ke atas nikmat Allah dan bertaubat dari melakukan maksiat.

KESEMBILAN : HAK KEPADA NABI SAW

Iaitu : Berselawat ke atas baginda, berpegang dengan syariat, bergantung kepada as-Sunnah (Hadith), menyayangi para sahabat, dan bersaing dalam mencari keredhaan Allah.


KESEPULUH : HAK KEPADA ALLAH SWT

Iaitu : Mengajak manusia ke arah kebaikan, mencegah manusia dari kemungkaran, menyukai ketaatan dan membenci kemaksiatan. Sudahkah anda menunaikan SOLAT ? Dari Abdullah bin 'Amr r.a.,

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Sampaikanlah pesanku biarpun satu ayat... "


SABAR itu iman,

DUIT bukan kawan,
DUNIA hanya pinjaman,
dan MATI tidak berteman.

Friday, September 09, 2005

Cara Budak IT Bagi Nasihat



  • Hiasi interface wajah dgn menundukkan pandangan,
  • Jaga monitor pancaindera dgn perkakasan keimanan,
  • Defrage ketulan hati dgn asuhan alquran dan zikrullah,
  • Scandisk amalan dgn uswatun hasanah,
  • Clean up partition dosa2 lama dgn taqarrub pdNYA,
  • Scan virus hasutan iblis laknatullah dgn benteng iman dan keyakinan pdNYA,
  • Refreshla kecintaan hakiki pdNYA dgn segera dan selalu memohon keampunan NASUHA,
  • Copy,cut dan paste akhlak mulia sahabat beriman.
  • Restart la kehidupan sementara yg seakan2 temporary internet files yang sebelumnya dibelenggu cookies2 kejahatan dan noda dan clear history lama dalam recycle bin dunia.
  • Ayuh..restartla atau ctrl + alt + delete segala kegelapan jalan yang dilalui..gantikan dgn sinar baru dgn restart dan letakkan password admin iman sebagai benteng menghalang syaitan,iblis dan nafsu yang bertopengkan kelembutan seorang user..
  • Segeralah..sebelum hayat hidup kita di shutdown terus oleh ALLAH tanpa amaran atau tanda"..

Sunday, August 21, 2005

Lelaki Soleh....

Lelaki Soleh dapat di definisikan sebagai seorang lelaki muslim yang beriman (mukmin), bersih dari segi zahir dan batinnya, mengambil makanan yang bersih dan halal(bukan dari sumber yang haram)serta sentiasa berusaha menjauhkan dirinya dari perkara perkara yang akan mendorong kearah maksiat dan menariknya ke jurang NERAKA yang amat dalam. Lelaki soleh juga ialah seorang lelaki yang sentiasa taat kepada Allah swt. dan RasulNya walau dimana sahaja mereka berada dan pada bila bila masa sahaja. Kesolehan dan keimanan seseorang tidak dapat dilihat dan diukur dari segi lahiriah semata mata kerana ianya adalah berkait rapat dengan masalah AKIDAH dan KEYAKINAN, kepada siapa dia menyerah keyakinan dan ketaatan dan sebaliknya. TAUHID merupakan dasar tertinggi dalam kehidupan yang harus sentiasa dipelihara kerana apabila tauhid tidak betul dan sempurna, maka seluruh amalan yang dilakukan adalah sia-sia sahaja. Apabila telah jelas kepada siapa kita memberikan perwalian dan terhadap pihak mana kita menolak kepimpinan, barulah Tauhid akan menjadi kenyataan dan berdiri dengan tegaknya dalam jiwa seseorang. Oleh yang demikian, jelaslah bahawa kesolehan seseorang lelaki itu tidak dapat dinilai dari segi lahiriah semata-mata. Ianya adalah lebih jauh dan mendalam dari itu senua. Antara hal-hal yang harus dilihat dan dikaji pada setiap individu muslim ialah perkara-perkara yang bersangkutan dengan keyakinan, tujuan dan pandangan hidup serta cita-cita dan jalan hidup seseorang itu.


KRITERIA-KRITERIA LELAKI SOLEH SEPERTI YANG DIMAKSUDKAN OLEH AL QURAN DAN AL HADIS.....

1. Sentiasa taat kepada Allah swt dan Rasullulah saw.
2. Jihad Fisabilillah adalah matlamat dan program hidupnya.
3. Mati syahid adalah cita cita hidup yang tertinggi.
4. Sabar dalam menghadapi ujian dan cabaran dari Allah swt.
5. Ikhlas dalam beramal.
6. Kampung akhirat menjadi tujuan utama hidupnya.
7. Sangat takut kepada ujian Allah swt. dan ancamannya.
8. Selalu memohon ampun atas segala dosa-dosanya.
9. Zuhud dengan dunia tetapi tidak meninggalkannya.
10. Solat malam menjadi kebiasaannya.
11. Tawakal penuh kepada Allah taala dan tidak mengeluh kecuali kepada Allah swt
12. Selalu berinfaq samaada dalam keadaan lapang mahupun sempit.
13. Menerapkan nilai kasih sayang sesama mukmin dan ukhwah diantara mereka.
14. Sangat kuat amar maaruf dan nahi munkarnya.
15. Sangat kuat memegang amanah, janji dan kerahsiaan.
16. Pemaaf dan lapang dada dalam menghadapi keboduhan manusia, sentiasa saling koreksi sesama ikhwan dan tawadhu penuh kepada Allah swt.
17. kasih sayang dan penuh pengertian kepada keluarga.Selain daripada ciri-ciri diatas, orang orang yang soleh juga merupakan insan insan yang senantiasa mendapat ujian dan cubaan daripada Allah swt. setelah para nabi nabi dan orang orang yang mulia. Mereka menghadapi segala ujian tersebut dengan hati yang tabah dan tetap teguh dalam keimanan serta pendirian. Mereka tidak mudah menyerah kalah dari keganasan dan tekanan musuh.

Tugas tugas dan kewajipan Lelaki Soleh........

1. Mencari nafkah ( belanja hidup)
2. Berjihad Fisabilillah.
3. Melindungi dan membela kaum yang lemah dan tertindas.
4. Memimpin, mendidik dan berlaku adil terhadap isteri.


1. MENCARI NAFKAH..........
Tugas mencari nafkah diberatkan kepada kaum Lelaki kerana kelebihan dalam penciptaannya yang berupa kekuatan fizikal dan akal fikirannya. Oleh itu Lelaki mampu untuk bekerja keras untuk mencari nafkah, memberi perlindungan dan pertahanan maruah kehidupannya terutama kepada keluarga, agama, bangsa dan agamanya. Inilah sebabnya lelaki diangkat menjadi pemimpin bagi kaum wanita. Oleh itu, seorang lelaki muslim, lelaki dan suami yang soleh, tidak akan melalaikan tugas ini. Ia wajib bekerja menurut apa sahaja kemampuannya. Dalam melaksanakan tugas ini, dia haruslah MEMBETULKAN NIATnya iaitu ikhlas untuk mencari keredhaan Allah swt. Dia tidak akan merasa MALU untuk melakukannya sebaliknya gembira dan berbangga terhadap pekerjaannya lebih lebih lagi perkara yang halal.


Lelaki soleh tidak akan lupa untuk mengingati hari akhirat tetapi menjadikannya sebagai tujuan yang utama. dia bekerja didunia untuk mencari keuntungan di akhirat, bukannya mengejar keduniaan semata-mata. Dengan cara ini, usahanya akan sentiasa berhasil dan berjaya didunia dan akhirat. Seperti kata ulama Salaf yang bermaksud; Wahai anak Adam! Juallah duniamu dengan akhirat, maka engkau akan UNTUNG semuanya, tetapi jangan engkau jual akhirat dengan dunia, maka engkau akan RUGI semuanya.

" Bagi orang orang yang telah mengerjakan kewajipan agamanya dengan baik, kemudian terasa penat dan letih pada malamnya, sehingga tidak dapat mengerjakan amalan amalan sunnah, maka Allah dan RasulNya memberikan jaminan dengan ampunan sepanjang malam yang dilaluinya dengan tidur yang nyenyak".

Inilah antara ganjaran yang akan dikurniakan kepada lelaki soleh yang mencari nafkah dengan bersungguh sungguh. Terdapat dua cara orang berusaha mencari nafkah seperti yang dianjurkan oleh ISLAM.

Pertama: Hendaklah ia tidak melalaikan tugasnya terhadap Allah swt. dan janganlah ia meninggalkan nilai nilai yang LUHUR.

Kedua : Hendaklah dilakukan dengan cara yang halal, bersih dan tidak membawa apa apa kemudaratan kepada orang lain dan tidak pula bertentangan dengan peraturan-peraturan umum.

Antara cara cara pencarian harta yang diharamkan oleh Islam ialah:

1. Riba,
2. Penimbunan barang barang yang menjadi hajat orang ramai,
3. Perjudian dan perdagangan minuman keras,
4. Berlaku penipuan dalam penimbangan dan penukaran barang,
5. Mencuri
6. Memakan harta orang lain dengan cara yang bathil seperti yang diterangkan dalam surah An Nisa 4, ayat 29.

2. BERJIHAD FISABILILLAH
Jihad merupakan amal yang paling utama dan puncak ketinggian Islam. Tidak ada satu pun amalan soleh yang dapat menandingi Jihad. Orang soleh tidak sedikit pun merasa gentar dan takut apabila berjuang menegakkan agama Allah sebaliknya sentiasa tersenyum bangga menjadi seorang Pegawai Allah dengan gelaran paling indah iaitu MUJAHIDIN. Inilah yang dimaksudkan dengan lelaki soleh, yang mana pekerjaan utamanya membunuh atau terbunuh. Jika tidak terbunuh, maka ia mesti membunuh. Tidak terdapat alternatif lain kecuali satu antara dua 'YUQTAL AU YAGHLIB' yakni TERBUNUH atau MENANG.

3. MELINDUNGI DAN MEMBELA KAUM YANG LEMAH DAN TERTINDAS
Sememangnya sejak akhir-akhir ini golongan kafir senantiasa mencari peluang untuk menindas dan menakhluki negara-negara serta umat- umat Islam. Orang orang yang soleh haruslah peka dan bersedia untuk bertindak balas supaya umat-umat Islam tidak akan ditindas dengan sewenang-wenangnya oleh golongan tersebut.

" Wahai lelaki soleh...! tugas dan tanggungjawabmu bukanlah ringan, bayangkan langit dan gunung tidak mampu membawanya. Kamu sajalah yang akan tampil dan mampu menyelesaikan persoalan besar ini. Orang orang yang lemah dan sedang tertindas sentiasa menanti kehadiranmu. Mereka berdoa agar kamu segera tiba untuk menjadi pembela dan penolong bagi mereka.

"Inilah laungan yang senantiasa terdengar daripada golongan golongan yang tertindas dan mengharapkan bantuan. Oleh itu lelaki yang soleh haruslah memainkan peranannya sebagai pembela agama sama ada secara langsung ataupun tidak langsung demi untuk mengekalkan kedaulatan agama Islam

4. MEMIMPIN DAN MENDIDIK ISTERI......

1. Mengajar dan membimbing dengan cara yang baik sehingga isteri isteri yang tidak solehah menyedari akan kesilapannya dan menukar cara hidupnya menjadi isteri solehah.
2. Menangani isteri yang bodoh dan keras kepala dengan bijaksana sehingga dia menyedari hakikat yang sebenarnya dan bersedia mengubahnya.

Demikianlah cara cara yang telah digariskan oleh Islam untuk mengatasi masaalah ketidaksesuaian suami isteri dalam kehidupan rumah tangga. Apabila menghadapi sebarang kesulitan, lelaki soleh tidak akan cepat melatah dan bertindak menurut nafsu dan perasaan semata-mata tanpa mengambil kira perasaan orang lain. Lelaki soleh akan bertindak dengan cara yang lebih effisien dan bijaksana dan senantiasa memohon petunjuk dari Allah swt. Dengan ini kebahagiaan rumahtangga akan dapat dikekalkan buat selama lamanya. Berlaku baik terhadap isteri Suami yang soleh akan sentiasa menjaga kebajikan keluarganya terutama isterinya. Ia senantiasa menjaga hati dan perasaan pasangannya dan sentiasa menggembirakan isterinya. Mereka juga akan bertanggungjawab dalam menguruskan urusan rumahtangga, dan bekerjasama dengan isterinya.

Sabda Rasulullah:
Orang yang terbaik diantara kamu adalah orang yang terbaik terhadap isterinya, dan aku adalah orang yang terbaik diantara kamu terhadap isteriku. ( HR Ibnu Majah )Tauladan Rasulullah Dalam kehidupan berkeluarga.......

A: Keadaan beliau sebagai suami dan ayah
B: Kebiasaan beliau di tengah kehidupan bekeluarga
C: Cinta kasih beliau terhadap isteri dan anak.

Wassalam.

Thursday, July 21, 2005

Pinjamkanlah 'Ia'

Suatu hari ‘Ali pulang ke rumahnya dari rumah Nabi S.A.W., dan menemui Fatimah. Salman al-Farisi berada di rumah Fatimah, sedang menceraiberaikan bulu-bulu domba untuk Fatimah, sedang Fatimah sendiri sedang memintal.

“Adakah makanan yang boleh dimakan suamimu, wanita mulia?” Tanya ‘Ali.

“Demi Allah, aku tak memiliki apa-apa. Tapi ini ada enam dirham yang diberi Salman ketika aku memintal tadi. Sebenarnya aku ingin membeli makanan untuk Hasan dan Husain”.

“Wanita mulia, mana wang itu. Biar aku yang membelikannya,” kata ‘Ali. Wang itu diberikannya kepada ‘Ali.

Di tengah jalan, ‘Ali bertemu dengan seorang laki-laki. Laki-laki itu berkata: “Siapa gerangan yang mahu menghutangi Tuhan Yang Maha Pengasih dan Maha Memenuhi Janji?”. ‘Ali mendekati orang itu, dan serta merta memberikan semua wang yang hendak dibelikan makanan itu.

‘Ali kembali ke rumah tanpa membawa apa-apa. Ketika Fatimah tahu, ia menangis.”Wanita mulia, mengapa menangis?” Tanya ‘Ali.
“Wahai anak paman Rasulullah, Engkau pulang tanpa membawa apa-apa”.
“Wanita mulia, aku telah meminjamkannya kepada Allah”.
“Baiklah kalau begitu”, jawab Fatimah.

‘Ali lalu keluar dengan maksud untuk menemui Nabi. Tiba-tiba datang kepadanya seorang Badwi yang menuntun unta.

“Abu Hassan. Belilah unta ini,“ kata orang itu.
“Aku tidak ada duit,” jawab ‘Ali.
“Mudah sahaja. Wangnya bila-bila pun boleh”
“Berapa kau jual?”
“Seratus dirham”
“Baiklah, aku beli”

Selang beberapa langkah, tiba-tiba muncul Badwi yang lain.

“Wahai Abu Hassan ! Kau jualkah unta itu?” tanyanya.
“Ya”.
“Berapa?”
“Tiga ratus dirham”.
“Baiklah”. Orang itu mengeluarkan wangnya dan mengambil unta itu.

‘Ali pulang ke rumah. Fatimah tersenyum melihat ‘Ali.

“Apa yang kau dapatkan, Abu Hassan?”
“Aku membeli unta seratus dirham dengan hutang, ku jual tiga ratus dirham tunai”.
“Setuju,” kata Fatimah.

Kemudian ‘Ali menghadap Rasulullah S.A.W. di masjid. Ketika ia memasuki pintu masjid, Nabi melihatnya, dan tersenyum. Setelah memberi salam kepada Nabi, Nabi menyapanya: “Wahai Abu Hassan, kau yang akan memberi khabar kepada aku, atau aku yang memberi khabar?”

“Tuanlah yang mestinya memberi, wahai Rasulullah”.

Berkata Nabi: “Berbahagialah kau, ‘Ali. Engkau telah meminjamkan Allah enam dirham dan Allah memberimu tiga ratus dirham. Allah mengganti tiap dirham menjadi lima puluh dirham. Orang yang pertama datang kepadamu itu Jibril, sedang yang kedua Israfil”.

Thursday, July 14, 2005

Cerpen Remaja: Muslimah Idaman.....(Risik)

FAJAR menyinsing. Kokokan ayam begitu nyaring. Azan yang bergaung dari masjid desa mendayu-dayu. Sebuah pagi yang syahdu. Ila terbangkit sendiri. Lain benar azan subuh yang mengejutkan lenanya pagi ini. Merdu dan berlagu. Tidak seperti selalu. Baru Ila sedar dimana ia berada.

Selesai solat subuh, terus saja Ila ke dapur. Ibunya yang hendak ke bilik air tekejut bila melihat Ila sedang menyiapkan sarapan. Demikian juga abah yang baru selesai solat subuh. Namun di sudut hati mereka gembira. Bertuah ada anak yang mengaji agama!

Baru tengah hari semalam Ila tiba. Tiada seorang pun ahli keluarganya yang menyangka Ila yang baru dua tahun menuntut di Jordan itu akan pulang. Tiba-tiba sahaja tersembul di ambang pintu. Gempar satu keluarga. Tidak henti-henti ibu menceceh, sebab Ila tidak memaklumkan dahulu kepulangannya. Ila Cuma tersenyum. Sengaja dia mahu buat kejutan.

“Hai...maknya. Beruntung awak. Tak payah bangun awal lagi. Ustazah dah ada.”

Abah mengusik. Ila tersenyum sambil memandang ibunya yang masih bertelekung, mengacau kopi di dalam kole. Wajah ibunya cukup berseri-seri. Girang benar dengan kepulangan anak gadisnya ini. Memang sejak semalam bibir ibunya tak lekang senyum.

“Mak bahagia Ila balik juga. Dah rindu mak ni.”

“Ila bukan tak nak balik mak. Baru sangat rasanya duduk di Jordan tu. Lagi pun sekarang ringgit jatuh. Kenalah berjimat cermat,” luah Ila tatkala ibu mendakapnya sesampainya di rumah. Kejap betul pelukan ibu, hamper sukar rasanya hendak bernafas. Rindu itu terlerai jua. Dan mereka sama-sama menangis hingga basah lencun tudung Ila yang labuh hingga ke pinggul itu. Ila lihat mata abah masa itu berkaca juga. Sebak beraduk suka agaknya.

Ila sendiri tidak tahu bagaimana dia boleh pulang. Dia sebetulnya tidak merancang. Tekad asalnya untuk tidak akan pulang selagi tidak meraih gelaran siswazah Syariah Timur Tengah, tiba-tiba sahaja mencair apabila dia beroleh jayyid jiddan dalam peperiksaan semester lepas. Dia gembira bukan kepalang. Tidak tahu dengan siapa mahu dikongsinya kegembiraan itu selain kawan-kawan serumahnya. Memang hajat asalnya tidak mahu pulang. Apa kala melihat kawan-kawannya hendak pulang bercuti, entah bagaimana dia pun turut sama menempah tiket kapal terbang.

Sudah seminggu Ila pulang, tetapi masih tidak kemana-mana. Paling jauh pun ke rumah saudara-mara. Dia hanya terperap di rumah. Kenduri kesyukuran pun telah dibuat. Setiap hari ada saja orang kampung yang datang ke rumah. Maklum sajalah, Ilalah anak pertama kampung ini yang belajar di Timur Tengah. Ibu pula langsung tidak berenggang. Di mana ada Ila, disitu jugalah ibu akan menemani. Ada saja perkara yang mereka sembangkan. Tidak henti-henti wanita separuh abad itu bertanyakan kehidupannya di Jordan, pengalamannya sewaktu menunaikan umrah, juga kenangannya semasa melancong ke Mesir.

Dalam perancangannya, kalau boleh, cuti ini ingin dihabiskan dengan beristirehat dan menziarahi adik-beradik dan saudara-mara. Dia mahu santai sepuas mungkin, setelah puas bertungkus-lumus semester penuh di Jordan. Lebih daripada itu, dia tidak mahu. Ditambah cutinya hanya sebulan, masakan sempat untuk berbuat apa-apa.

Bagaimanapun, petang itu abah memanggil Ila ke ruang tamu. Ada perkara yang nak dibincangkan katanya. Ibu pun sudah menanti sama.

“Beginilah Ila. Tadi abah terserempak dengan Ustazah Maisarah di kedai. Dia ada tanyakan Ila.”

Ila terdiam. Bertanya tentang aku? Dadanya berdebar-debar.

“Ustazah nak mintak tolong Ila gantikan dia mengajar malam esok.”

“Ila?” Terkedu dia mendengarnya.

“Ha…ah. Ustazah nak ke Johor Bahru. Tak ada siapa nak gantikan tempatnya.”

“Jangan abah. Ila tak sanggup.”

Ila menggeleng. Abah menghirup teh yang asapnya kian menipis. Ibu terus leka dengn jahitannya.

“Kenapa pula, kan Ila dah belajar itu semua?”

“Ila…Ila tak bersedia lagi. Baru seminggu balik, takkan dah nak mengajar orang.”

Abah mengangguk-angguk. Barangkali alasan Ila itu menerjah akalnya. Ila menarik nafas lega dengan tindak-tanduk abah.

Sementara menunggu mata terlelap malam itu, Ila teringat kata-kata abahnya di ruang tamu tadi. Entah mengapa dia rasa malu sendiri. Dia sedar abah menaruh harapan besar padanya. Dalam lima orang adik-beradiknya, dialah perintis dalam keluarga, yang belajar di sekolah agama. Kakak-kakak dan abangnya dihantar ke sekolah biasa. Belajar pun perkara-perkara sekular. Malah tiada seorang pun yang berjaya hingga ke peringkat universiti, melainkan Ila satu-satunya. Lantaran itu, Farhana adiknya yang bongsu dihantar ke sekolah agama, demi menuruti jejak kakaknya.

Mengajar orang-orang kampung? Suatu perkara yang tidak pernah terfikir di akalnya sebelum ini. Ila benar tidak menyangka Ustazah Maisarah bertanyakan dirinya untuk itu. Dia kenal benar keluarga ustazah itu. Fathi, anak sulungnya pernah sekelas dengannya sewaktu di SMKAS. Itulah sebabnya dia terkejut benar bila Ustazah Maisarah bertanyakan dirinya. Tidak pasti pula di mana Fathi berada sekarang. Yang dia tahu Fahmi dan Siti Khadijah, dua orang lagi anak ustazah itu masih menuntut di SMKAS.

Dalam begitu, telinganya menangkap sayup-sayup suara orang berbual. Pasti abah dan ibu belum tidur lagi. Baru dia teringat abahnya baru pulang bermesyuarat di rumah pak Imam. Perlahan-lahan Ila membuka pintu biliknya, dan melangkah segontai mungkin ke ruang tamu.

“Abang nak tolak cadangan pak Imam tadi. Tapi…lepas tu abang terfikir apa salahnya kalau anak kita yang beri pengisian.”

Langkah Ila terhenti. “Ish…nak ke si Ila tu?” Ibu bertanya separuh ragu.

“Alah…dia mengaji agama tinggi-tinggi. Bila lagi nak diguna ilmu tu.”

Tidak semena-mena dadanya berdebar kencang. Terus memasang telinga.

“Lagipun ceramah Maulidur Rasul ini cuma untuk muslimat saja. Dua minggu lagi. Apa nak dibimbangkan?”

Sekali lagi Ila terkedu. Dia sudah dapat menagkap hala tuju percakapan abahnya. Lantas, berpatah balik ke bilik, dan merebahkan diri di tilam. Kacau! Ila mengetap bibir. Dia tidak tahu bagaimana untuk mengelak lagi. Kelas agama sudah di tolak. Tetapi, menolak program yang ini, memang tidak wajar!

Bukan dia tidak mahu, cuma tidak sanggup. Dengan ilmu yang tidak seberapa, bagaimana mahu memberi pengisian kepada masyarakat. Dia teringat kehidupannya di Jordan. Banyak dihabiskan dengan studi. Masanya digunakan cuma untuk menelaah muqarrar kuliah. Jarang sekali dia mengikuti program-program seperti ini. Aktif berpersatuan pun tidak. Semuanya tidak dihiraukan. Dia cuma mahu score dalam peperiksaan!

Pernah sekali rakan serumahnya mengajak dia menghadiri program public speaking.

“Lain kalilah Icah, aku tak free petang ni.”

“Alah…program macam ni bukannya selalu. Kebetulan Kak Suhanna yang buat Ph.D tu ada sekali. Rugi kalau tak dengar dia berceramah tau.”

“Aku nak studi, macam tak sempat aje. Minggu depan imtihan.” Dia cuba berdalih. Bila berbicara dengan Icah dalam soal –soal begini jarang sekali dia menang. Gadis kelahiran Batu Pahat itu memang bijak berhujah.

“Orang lain pun belajar juga. Tapi, tak adalah sampai langsung tak ada masa.”

“Kita ke sini kan untuk belajar.”

Icah yang sedang memakai tudung tersentak.

“Apa, kau ingat belajar tu dengan menghadap buku saja?”

Esoknya, Ila benar-benar terkejut, Pagi-pagi lagi Ustazah Maisarah sudah muncul di halaman rumahnya. Wajah wanita itu berseri-seri. Dada Ila mula bergetar. Ibu sedang mandi, terpaksa Ila pula yang menyambutnya.

“Ana bukan tak mau ustazah. Tapi rasa macam tak layak aje.”

Betul jangkaannya. Ustazah Maisarah datang membawa hajat. Sama seperti kata-kata abah.

“Tak usahlah tawaduk sangat Ila. Ustazah yakin Ila boleh. Suami ustazah pun kata macam tu.”
Melihat kesungguhan di wajah Ustazah Maisarah membuatkan lidah kelu. Segala jawapan yang difikirkan munasabah malam tadi bagaikan berlalu.

“Semua orang yakin dengan Ila. Orang mengaji di Timur Tengah yang berceramah, tentu ramai yang pergi. Pak Imam pun dah setuju.”

“Ana tak berani nak kata setuju. Takut tak tertunai pula hajat ustazah,” tuturnya lembut.

“Tak mengapa. Terpulang pada Ila. Lambat lagi majlis tu. Ila fikirlah dulu.”


Terkesip-kesip mata Ila mengingatkan itu semua. Sudah dua hari dia terlantar tanpa jawapan. Kitab Usul ad-Dakwah karangan Dr. Abdul Karim Zaidan yang kebetulan dibawa balik dibelek-belek. Cuba dibaca beberapa perenggan. Bungkam. Segala yang melintas tidak lekat di fikiran.

Sebelum ini, tidak sekali dia terfikir perkara sedemikian akan dihadapinya. Langsung tidak pernah; biarpun dia sedar kelak dia akan bergelar siswazah Timur Tengah. Memadai sekadar itu. Dan, tidak pernah terencana di benaknya untuk menjadi pendakwah, untuk memimpin ummah!

Di Jordan, memang ada didedahkan dengan situasi sebegini. Program-program seperti usrah, tamrin, ceramah, kelas tafaqquh, semuanya ada. Cuma dia yang tidak ikut. Baginya, serupa sahaja. Kalau setakat untuk membincangkan manduk-manduk usrah, dalam kitab pun ada. Bila-bila masa boleh dibaca!

Terbayang-bayang wajah Ustazah Maisarah yang mengharap. Ila terasa dirinya kerdil jika dibandingkan dengan wanita itu. Walaupun cuma guru sekolah agama, tetapi cukup aktif. Banyak perubahan yang telah dibuatnya. Pelbagai aktiviti muslimat di desa ini di bawah pimpinannya. Suaminya Ustaz Farouk pun begitu. Sumbangan mereka terhadap perkembangan rohani dan mentaliti penduduk kampung memang tidak dapat dinafikan.

Sedang aku ini siapa? Apa amal Islami yang telah kusumbangkan? Apa peranan yang telah kumainkan demi menjadikan Islam cara hidup masyarakat? Apa persediaan yang telah kubuat demi mencanai hasrat umat? Apa…argh!

Pertanyaan yang bertalu-talu itu berlegar-legar dalam diri. Dan fikirannya melayang mengingati kehidupannya di Jordan. Sendat dengan suasana ilmu. Malangnya selama ini, program-program yang ada tidak dimanfaatkan. Dia terlalu mengutamakan studi tanpa mencari ilmu-ilmu luar sebagai bekalan untuk menghadapi masyarakat; sebagai persediaan untuk memberi pengisian, sebagaimana yang dihadapinya sekarang.

Buat pertama kali Ila berasa begitu tersayat.
“Mengapa tidak pergi dari tiap-tiap golongan di kalangan mereka beberapa orang untuk mendalami ilmu agama, dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka telah kembali kepadanya, agar mereka itu dapat menjaga dirinya.”

Firman Allah dalam Surah at-Taubah yang seringkali diulang-ulang oleh pensyarah Arabnya pada awal kuliah terngiang-ngiang, dan kali ini benar-benar menusuk. Dalam hatinya dia membuat satu jawapan buat Ustazah Maisarah. Moga ini adalah langkah yang pertama!


Petang itu, Ila kembali ke rumah setelah dua hari bermalam di rumah nenek. Sewaktu tiba di rumah, sebuah Proton Satria baru sahaja meluncur keluar dari kawasan rumahnya. Ila cam kereta siapa.

“Dah lama ustazah datang mak?”

Ibu mengangguk. Abah yang sedang membaca akhbar tersenyum meleret. Ila tidak faham makna senyuman itu. Dia terus melangkah ke kamar. Kemudian keluar semula.

“Ustazah tunggu Ila tadi.”

Ila mengutip cawan dan pinggan bekas tetamu untuk dibawa ke dapur.

“Tunggu Ila?”

Ila memandang tepat ke wajah ibunya. Ibunya juga senyum lebar.

“Dia nak tanya keputusan Ila. Kami tak berani nak kata apa.”

“Mak tak cakap yang Ila dah setuju?”

“Hai…belum apa-apa Ila dah setuju?”

“Yalah. Memang Ila dah setuju untuk jadi penceramah Maulidur Rasul nanti,” jawab Ila tenang. Namun di hatinya terbetik rasa hairan.

Abah dan ibunya saling berpandangan. Senyuman yang terukir di bibir keduanya amat sukar ditafsirkan.

“Ila…ustazah tadi datang bukan untuk tanyakan itu.”

Ila semakin tidak faham.

“Habis tu?”

“Dia datang nak risik Ila untuk anaknya.”

Kali ini Ila benar-benar terkedu!



Nota:
Tiada kena mengena dengan mana-mana individu.......
Cerpen 2nd edition......
Copyright from MUSLIMAH......ogos98

history of SOLAT

Nabi Muhammad s.a.w. merupakan nabi terakhir yang diutuskan oleh Allah s.w.t untuk membimbing manusia ke arah jalan kebenaran.Tidak seperti umat nabi-nabi yang lain, umat Nabi Muhammad telah diperintahkan untuk mengerjakan solat lima waktu setiap hari.
Ini merupakan kelebihan dan anugerah Allah terhadap umat Nabi Muhammad di mana solat tersebut akan memberikan perlindungan ketika hari pembalasan kelak.Berikut diterangkan asal usul bagaimana setiap solat mula dikerjakan.

SOLAT SUBUH
Manusia pertama yang mengerjakan solat Subuh adalah Nabi Adam a.s. iaitu ketika baginda keluar dari syurga lalu diturunkan ke bumi.Perkara pertama yang dilihatnya ialah kegelapan dan baginda berasa takut yang amat sangat.Apabila fajar subuh telah keluar, Nabi Adam a.s. pun bersembahyang dua rakaat.

Rakaat Pertama : Tanda syukur kerana baginda terlepas dari kegelapan malam.
Rakaat Kedua : Tanda bersyukur kerana siang telah menjelma.

SOLAT ZUHUR
Manusia pertama yang mengerjakan solat Zuhur ialah Nabi Ibrahim a.s. iaitu tatkala Allah telah memerintahkan padanya agar menyembelih anaknya, Nabi Ismail a.s. Seruan itu datang pada waktu tergelincir matahari, lalu, sujudlah Nabi Ibrahim sebanyak empat rakaat.

Rakaat Pertama : Tanda bersyukur bagi penebusan.
Rakaat Kedua : Tanda bersyukur kerana dibuka dukacitanya dan juga anaknya.
Rakaat Ketiga : Tanda bersyukur dan memohon akan keredhaan Allah.
Rakaat Keempat : Tanda bersyukur kerana korbannya digantikan dengan tebusan kibas.

SOLAT ASAR
Manusia pertama yang mengerjakan solat Asar ialah Nabi Yunus a.s. tatkala baginda dikeluarkan oleh Allah dari perut ikan Nun. Ikan Nun telah memuntahkan Nabi Yunus di tepi pantai, sedang ketika itu telah masuk waktu Asar.Maka bersyukurlah Nabi Yunus lalu bersembahyang empat rakaat kerana baginda telah diselamatkan oleh Allah daripada empat kegelapan iaitu:

Rakaat Pertama : Kelam dengan kesalahan.
Rakaat Kedua : Kelam dengan air laut.
Rakaat Ketiga : Kelam dengan malam.
Rakaat Keempat : Kelam dengan perut ikan Nun.

SOLAT MAGHRIB
Manusia pertama yang mengerjakan solat Maghrib ialah Nabi Isa a.s. iaitu ketika baginda dikeluarkan oleh Allah daripada kejahilan dan kebodohan kaumnya, sedang waktu itu telah terbenamnya matahari. Bersyukur Nabi Isa, lalu sembahyang tiga rakaat kerana diselamatkan dari kejahilan tersebut iaitu:

Rakaat Pertama : Untuk menafikan ketuhanan selain daripada Allah yang Maha Esa.
Rakaat Kedua : Untuk menafikan tuduhan dan juga tohmahan ke atas ibunya Siti
Maryam yang telah dituduh melakukan perbuatan sumbang.
Rakaat Ketiga : Untuk meyakinkan kaumnya bahawa Tuhan itu hanya satu iaitu Allah
semata-mata, tiada dua atau tiganya.

SOLAT ISYAK

Manusia pertama yang mengerjakan solat Isyak ialah Nabi Musa a.s. Pada ketika itu, Nabi Musa telah tersesat mencari jalan keluar dari negeri Madyan, sedang dalam dadanya penuh dengan perasaan dukacita. Allah menghilangkan semua perasaan dukacitanya itu pada waktu Isyak yang akhir. Lalu sembahyanglah Nabi Musa empat rakaat sebagai tanda bersyukur.

Rakaat Pertama : Tanda dukacita terhadap isterinya.
Rakaat Kedua : Tanda dukacita terhadap saudaranya Nabi Harun.
Rakaat Ketiga : Tanda dukacita terhadap Firaun.
Rakaat Keempat : Tanda dukacita terhadap anak Firaun.

Sumber: Copy n Paste…..